BUKIT GANTANG - Sebanyak 2,000 ekor ayam yang ditawarkan pada harga serendah RM7 sekilogram di Jualan Murah Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini habis dijual dalam tempoh kurang 40 minit pada Rabu.
Seawal jam 7 pagi, orang ramai sudah mula beratur panjang meskipun jualan hanya bermula pada jam 8 pagi, dengan ayam menjadi antara barangan paling cepat diborong pembeli.
Ketua Jualan, Mohd Zalie Abdullah berkata, sambutan terhadap jualan kali ini jauh lebih hebat berbanding tahun sebelumnya, khususnya bagi bekalan ayam yang menjadi pilihan utama.
Menurutnya, harga RM7 sekilogram yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa menjadikan ia antara faktor utama tarikan kepada penduduk setempat.
“Untuk ayam, kita sediakan 2,000 ekor dan habis dalam tempoh kira-kira 40 sahaja. Kita juga hadkan dua ekor bagi setiap pembeli kerana permintaan terlalu tinggi," katanya.
Menerusi program sama, sebanyak 12 ekor lembu bersamaan kira-kira 1.5 tan daging disembelih bagi memenuhi permintaan sempena jualan murah itu.
Mohd Zalie berkata, harga bagi bekalan daging yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pasaran iaitu RM24 sekilogram bagi daging biasa, RM15 sekilogram daging cincang dan RM30 sekilogram bagi batang pinang.
"Setakat jam 9.15 pagi tadi, separuh daripada bekalan telah habis dijual. Proses pemotongan masih berjalan dan orang ramai tak putus-putus datang dan beratur panjang," katanya.
Tinjauan mendapati, orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan ayam segar pada harga murah, malah ada yang hadir lebih awal bagi memastikan tidak terlepas peluang.
Seorang pembeli, Nor Azlina Rohim, 44, berkata, dia membeli lima ekor ayam dan menyifatkan jualan tersebut sangat membantu dalam membuat persiapan akhir menjelang Aidilfitri.
“Memang berbaloilah walaupun kena beratur panjang. Saya sampai sekitar 8.30 pagi pun dah ramai orang, tetapi alhamdulillah masih dapat beli sebab bekalan mencukupi,” katanya.
Tambahnya, sistem jualan yang tersusun dan pantas turut memudahkan urusan pembelian walaupun kehadiran pengunjung sangat ramai.
“Saya datang sebab semua ada di sini, bukan ayam sahaja. Barang kering pun ada melalui Jualan Rahmah, jadi senang untuk buat persiapan sekali gus,” ujarnya.
Seorang lagi pembeli dari Kampung Pak Darus, Rosmaini Zakaria, 48, berkata, faktor harga menjadi pendorong utama kehadirannya ke program tersebut.
“Harga ayam dan daging di sini memang jauh lebih murah. Kalau di pasaran, boleh cecah RM34 hingga RM38 sekilogram, jadi memang berbaloi. Peluang macam ini tak selalu datang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jualan murah itu diadakan sebagai persediaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menjelang Aidilfitri.
Beliau yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) berkata, kaedah pembelian dalam jumlah besar membolehkan harga dikurangkan tanpa menanggung kerugian.
"Kita beli dalam kuantiti besar, jadi kita dapat harga rendah dan boleh jual murah kepada rakyat. Ini adalah penyelesaian sebenar untuk bantu rakyat,” katanya.
Menurutnya, program tersebut akan diteruskan setiap tahun, malah pihaknya bersedia menambah bekalan sekiranya permintaan terus meningkat.
"Kalau tak cukup, kita boleh tambah lagi termasuk jualan pada hari berikutnya. Matlamat kita adalah memastikan seramai mungkin penduduk Bukit Gantang mendapat manfaat,” katanya.
