2,333 penjawat awam Selangor nikmati moratorium pinjaman rumah tiga bulan

LocalBusiness & Finance
19 Jun 2026 • 12:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

2,333 penjawat awam Selangor nikmati moratorium pinjaman rumah tiga bulan

SHAH ALAM, 19 JUN: Seramai 2,333 penjawat awam di Selangor bakal menikmati moratorium bayaran semula pinjaman rumah selama tiga bulan menerusi Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri bermula Oktober hingga Disember 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan itu disediakan dengan peruntukan RM2.54 juta bagi membantu meringankan beban kewangan penjawat awam yang layak melalui permohonan.

“Bantuan ini bakal memanfaatkan seramai 2,333 penjawat awam di negeri Selangor mengikut permohonan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM7 juta bagi melaksanakan Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani Selangor menerusi kerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).

Image from: 2,333 penjawat awam Selangor nikmati moratorium pinjaman rumah tiga bulan
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 19 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, seramai 500 usahawan tani akan ditawarkan pembiayaan sebanyak RM10,000 seorang, dengan kos keuntungan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi membolehkan pinjaman diberikan tanpa faedah.

“Selain bantuan tunai bersasar, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kemampanan dan kelangsungan kewangan usahawan tani agar industri ini berupaya menawarkan peluang pekerjaan dan kerjaya yang mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada 15 inisiatif baharu yang diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 melibatkan peruntukan keseluruhan RM209.26 juta.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM145.8 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif dan sedang dilaksanakan ketika ini.