Anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas empat pertuduhan merogol dan menyamun seorang pelajar kolej swasta dalam kejadian 9 Januari lalu.
Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol remaja perempuan warga Uzbekistan berusia 17 tahun, dalam kereta peronda pada jam 10.30 malam di tepi jalan Persiaran Saujana Ampang.
Tertuduh memasukkan kemaluan ke dalam mulut, melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dan melakukan amang seksual terhadap mangsa.
Hakim Norshila kemudian menetapkan jaminan RM20,000 untuk kesemua pertuduhan tersebut.
Tertuduh dan juga rakan setugasnya berpangkat Konstabel, Muhammad Adib Aikal Shahrul Nizam dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap mangsa yang sama dan teman lelakinya.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengugut mahu menyebarkan video pasangan muda itu bercumbuan jika tidak diberikan wang sebanyak RM500.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dan tidak dibenarkan mendekati saksi atau mangsa sehingga perbicaraan kes selesai.
Mereka juga dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan. Tarikh sebutan semula kes pada 12 Mac 2024.
Sumber: Malaysia Gazette
The post 2 anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan samun, rogol pelajar Uzbekistan dalam kereta peronda appeared first on The Reporter.



