Hasrat sepasang suami isteri untuk berinfak makanan kepada jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Tanjung Agas bertukar pilu apabila majlis itu akhirnya menjadi kenduri tahlil buat dua anak mereka yang maut dalam tragedi kereta tergelongsor ke sungai, pagi tadi.

Infak makanan jadi kenduri tahlil buat anak
Memetik laporan daripada Bernama, rakan keluarga mangsa, Aahanisa Hamid, 49, menyatakan pasangan tersebut sebelum ini merancang untuk mengagihkan 400 bungkus makanan tengah hari kepada jemaah selama tiga minggu berturut-turut.
“Tadi, mereka (pasangan suami isteri) meminta saya untuk teruskan memasak bagi kenduri tahlil adik dan kakak (panggilan nama anak mereka yang maut) di masjid esok.
Insya-Allah kami akan urus sebaik-baiknya amanah ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, hari ini.

Kenduri tahlil selepas 2 anak meninggal dunia kerana lemas
Dalam kejadian sekitar jam 11.24 pagi, dua beradik masing-masing berusia enam dan lapan tahun ditemukan lemas selepas kereta yang diparkir di tebing Sungai Tanjung Agas, Port Dickson, tiba-tiba tergelongsor ke dalam sungai.
Kedua-dua ibu bapa mereka yang berada di dalam kenderaan itu bagaimanapun terselamat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan mengesahkan mangsa adalah anak lelaki dan perempuan kepada pasangan berusia lingkungan 40-an.
Sumber: Bernama
The post 2 Beradik Maut Kereta Jatuh Sungai: Niat Suami Isteri Infak Makanan Jadi Kenduri Tahlil appeared first on Borak Daily.


