2 Beranak Rentung Banglo Terbakar

26 Jun 2022 • 1:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota Bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang berlaku di sebuah banglo di Taman Gembira, Seputeh, di sini awal pagi tadi. - Gambar dari Facebook Bomba KL

KUALA LUMPUR - Dua beranak ditemui rentung manakala dua ahli keluarga mereka yang lain melecur dalam kebakaran melibatkan sebuah banglo di Taman Gembira, Seputeh, di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kuala Lumpur, Musa Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.22 pagi.

image is not available
4 jentera Bomba dikejarkan ke Taman Gembira bagi memadam kebakaran melibatkan sebuah banglo, pagi ini. - Gambar dari Bomba KL

Menurutnya, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, BBP Pantai, BBP Sri Petaling dan BBP Hang Tuah ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 6.32 pagi, api sudah pun marak dan kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo empat tingkat berkeluasan 80x70 kaki persegi.

“Terdapat empat mangsa, dua daripada mereka cedera manakala dua lagi iaitu ibu dan anak berusia 60 dan 22 tahun disahkan meninggal dunia,” katanya hari ini.

image is not available
Keadaan di dalam banglo yang terbakar di Taman Gembira, Seputeh, pagi tadi. - Gambar dari Bomba KL

Menurut beliau, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala mayat dua beranak tersebut dibawa ke Unit Forensik hospital sama.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.54 pagi dan api padam sepenuhnya pada jam 7.12 pagi.

“Pemadaman menggunakan kaedah secara offensive firefighting berjaya mengelakkan api daripada merebak ke rumah bersebelahan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. - Getaran, 26 Jun 2022