2 Dipercayai Pengedar Dadah Ditahan, Sasar Penagih Di Lembah Klang

25 Jul 2022 • 8:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dua lelaki berusia antara 30 dan 35 tersebut ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31,405 - Gambar PDRM

KAJANG – Polis menahan dua individu secara berasingan, yang dipercayai mengedar dadah di sebuah kondominium Batu 9, Cheras, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua lelaki berusia antara 30 dan 35 tersebut ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31,405.

“Suspek pertama ditahan kira-kira jam  12.40 tengah malam, bersama empat paket plastik berisi serbuk ekstasi seberat 54.8 gram dan empat botol minuman plastik mengandungi cecair disyaki ekstasi.

“Seorang lagi ditahan kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah kedai di kondominium yang sama,” katanya hari ini.

image is not available
Turut dirampas daripada suspek kedua ialah 219 paket plastik berisi serbuk ekstasi seberat 4,529.8 gram, tiga botol minuman plastik berisi cecair disyaki ekstasi, 61 biji pil ekstasi, ketamin (8.2 gram) dan 50 pil erimin 5 - Gambar PDRM

Beliau berkata, turut dirampas daripada suspek kedua ialah 219 paket plastik berisi serbuk ekstasi seberat 4,529.8 gram, tiga botol minuman plastik berisi cecair disyaki ekstasi, 61 biji pil ekstasi, ketamin (8.2 gram) dan 50 pil erimin 5.

“Kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk dipasarkan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Tambah Mohd Zaid,  semakan rekod  lampau pula mendapati seorang daripada mereka memiliki dua rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Getaran, 25 Julai 2022