'2 hari di hospital sebelum pergi selamanya...' Gusi berdarah, mudah lebam rupanya tanda anak leukemia, bapa terkilan tak sedar awal

Health & Fitness
1 Jul 2026 • 10:38 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: '2 hari di hospital sebelum pergi selamanya...' Gusi berdarah, mudah lebam rupanya tanda anak leukemia, bapa terkilan tak sedar awal

KEHILANGAN anak sekelip mata cukup menyayat hati. Kisah duka yang menimpa Allahyarham Nur Dhia An-Nuha Hapizam, 16, pelajar Tingkatan 4 di SMK Seri Bera yang dimuat naik oleh bapanya tular sehingga 2,300 perkongsian meruntun hati warga maya.

Bukan untuk meratapi takdir, sebaliknya demi memberi info kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit leukemia akut.

Lebih menyayat hati, Nur Dhia disahkan meninggal dunia selepas hanya dua hari dirawat di hospital.

Petanda disangka biasa

Sebelum ini, Allahyarham Nur Dhia dikenali sebagai seorang remaja yang sihat, aktif dalam aktiviti sekolah dan tidak memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.

Malah, dalam sejarah keluarga kedua-dua belah ibu bapanya juga tidak pernah ada rekod penyakit kanser darah.

Namun, segalanya berubah apabila Nur Dhia mula menunjukkan beberapa perubahan fizikal dalam tempoh yang sangat singkat. Menurut ringkasan laporan perubatan, remaja berkenaan mengalami kesan mudah lebam pada kedua-dua belah kaki dan lengan kanannya selama empat hari.

Selain itu, arwah juga mengalami pendarahan gusi sebanyak dua kali dan demam selama dua hari.

Bagaimanapun, memandangkan demam tersebut kembali reda dan arwah tidak mengalami batuk berpanjangan atau penurunan berat badan mendadak, gejala awal itu tidak disangka sebagai petanda kepada penyakit yang mengancam nyawa.

Image from: '2 hari di hospital sebelum pergi selamanya...' Gusi berdarah, mudah lebam rupanya tanda anak leukemia, bapa terkilan tak sedar awal

Merosot dalam dua hari

Menyedari keadaan lebam yang semakin ketara pada Nur Dhia, keluarga membawanya ke hospital pada awal pagi 24 Jun lalu.

Pada awalnya, pemeriksaan fizikal mendapati arwah berada dalam keadaan sedar dan cuma kelihatan sedikit pucat.

Bagaimanapun, keputusan ujian darah mengejutkan semua pihak apabila mendapati bacaan hemoglobin berada pada paras rendah (anemia), manakala sel darah putih pula melonjak terlalu tinggi mencecah bacaan 229.

Lebih membimbangkan, bacaan plateletnya berada pada paras sifar yang mendedahkan arwah kepada risiko pendarahan dalaman yang sangat tinggi.

Berdasarkan keputusan tersebut, pakar hematologi  mengesyaki Nur Dhia menghidap Acute Promyelocytic Leukemia (APL) iaitu sejenis leukemia akut (kanser darah) yang agresif serta memerlukan rawatan segera.

Detik hiba bermula apabila keadaan remaja berkenaan merosot secara drastik ketika dalam proses dipindahkan ke wad.

Nur Dhia tiba-tiba muntah sebelum rebah tidak sedarkan diri akibat kesukaran bernafas sehinggakan jantungnya dilaporkan berhenti berdenyut.

Image from: '2 hari di hospital sebelum pergi selamanya...' Gusi berdarah, mudah lebam rupanya tanda anak leukemia, bapa terkilan tak sedar awal

Meskipun pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan bantuan pernafasan cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 20 minit dan memberikan bantuan mesin ventilator di Unit Jagaan Rapi (ICU), takdir mengejutkan itu tidak dapat ditolak.

Badan arwah dilaporkan mengalami kekurangan oksigen dan gangguan metabolik yang sangat serius sebelum disahkan pergi buat selama-lamanya.

Arwah yang di bawa ke hospital pada 23 Jun, berada di ICU selama sehari telah menghembus nafas terakhirnya pada 7.24 pagi, 25 Jun

Pemeriksaan darah awal mampu mengurangkan risiko

Pemergian mengejut anak sulung daripada dua beradik itu diharapkan dapat membuka mata orang ramai.

Daripada perkongsian bapa arwah, jika ada dalam kalangan keluarga anda yang mempunyai simptom-simptom asas seperti ini dinasihatkan agar tidak diambil remeh:

-Mudah lebam pada anggota badan tanpa sebab trauma atau terjatuh.

-Pendarahan gusi atau hidung.

-Demam yang datang dan pergi.

Segera membuat pemeriksaan awal seperti ujian darah bagi mengesan penyakit ini dengan lebih cepat sebelum ia menjadi aktif dan kritikal.

Image from: '2 hari di hospital sebelum pergi selamanya...' Gusi berdarah, mudah lebam rupanya tanda anak leukemia, bapa terkilan tak sedar awal

Terkilan tak ambil serius

Berkongsi kepada SinarPlus, bapa arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Piezam mengakui berasa terkilan kerana sebelum ini tidak mengambil serius untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit kanser darah ini.

"Saya rasa sedikit terkilan sebab tak ambil serius untuk tahu lanjut tentang leukemia. Kanser-kanser lain sering dengar dan terjadi kepada rakan-rakan atau di sekitar saya.

"Tapi leukemia ni, bila dah terjadi pada anak saya dan pemergiannya terlalu cepat dengan serangan yang cepat dan terus kritikal.

"Saya rasa ibu bapa dan masyarakat lain perlu lebih mendapat kesedaran dan pendedahan," katanya.

Jelas lelaki itu lagi, dirinya terpanggil untuk berkongsi kesedaran kerana sifat penyakit tersebut yang menular secara 'senyap' tanpa menunjukkan tanda-tanda sakit yang berat pada peringkat awal.

"Pengalaman arwah anak saya, leukimia menyerang tanpa sakit. Hanya tanda-tanda asas sahaja. Apabila sudah mula aktif, sekelip mata sahaja ia menjadi agresif," kongsinya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved