
KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diutamakan, termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu selaras dengan usaha menambah baik kandungan, bilangan dan pendekatan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU).
Perdana Menteri berkata, beliau menyambut baik usaha berkenaan yang bertujuan menjadikan MPU lebih segar, relevan serta berkesan dalam membina nilai kenegaraan dan semangat patriotisme.
“Pagi ini, saya menerima pembentangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berhubung Cadangan Semakan Semula MPU.
“Cadangan ini dirangka hasil libat urus bersama pelbagai pihak termasuk sarjana, universiti awam, MQA, AKEPT, SPRM, Kementerian Pertahanan dan lain-lain melalui kajian keberkesanan serta hala tuju baharu pelaksanaan MPU,” katanya.
Jelas Anwar, MPU yang disemak semula akan diperluas pelaksanaannya bukan sahaja di universiti awam dan swasta, tetapi juga di semua institut latihan di seluruh negara.
“Usul ini juga akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperkukuh kesedaran kebangsaan.
“Ini semua demi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa besar dan cintakan negara,” katanya. - Getaran, 30 September 2025

