2 Lelaki Ditahan, Terima Upah RM70 Hantar 13 Ekor Lembu Stok Korban Dipercayai Seludup Dari Thailand

20 Apr 2026 • 2:10 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: 2 Lelaki Ditahan, Terima Upah RM70 Hantar 13 Ekor Lembu Stok Korban Dipercayai Seludup Dari Thailand

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui aktiviti penyeludupan secara haram merupakan satu kesalahan undang-undang yang serius dan boleh dikenakan tindakan.

Meskipun tahu ia merupakan satu kesalahan namun masih ada individu yang berdegil bahkan mencari 1,001 jalan bagi memastikan misi mereka berjaya.

2 lelaki ditahan dipercayai seludup 13 ekor lembu dari negara jiran

Terbaharu, dua lelaki telah dicekup bersama 13 ekor lembu dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand.

Dua individu terbabit ditahan dalam serbuan di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan didakwa menerima upah sebanyak RM70 untuk menghantar haiwan itu.

Jelas Komander Bridged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain individu yang ditahan pada jam sekitar 9.30 malam melalui Op Taring Wawasan kedua mereka berusia 22 serta 25 tahun.

Ditahan selepas dilihat mencurigakan, gagal kemuka dokumen pemilikan atau kebenaran bawa haiwan

Katanya, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu telah melakukan rondaan dan menahan sebuah kenderaan lori jenis Isuzu yang dilihat mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori mendapati terdapat 13 ekor lembu.

“Pemandu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau kebenaran membawa haiwan berkenaan,”ujarnya lapor Sinar Harian.

Katanya siasatan awal dilakukan mendapati 13 lembu terbabit dipercayai telah dibawa masuk dari Thailand menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

Jelasnya, kedua-dua individu itu memberitahu mereka mengambil haiwan berkenaan di Kampung Palas Merah, Telaga Bata sebelum menghantar ke kandang di Binjau, Kota Bharu.

Terima upah RM70 untuk buat penghantaran, lembu ambil dipercayai untuk stok korban

Menurutnya lagi, dua lelaki berkenaan mendakwa terima upah sebanyak RM70 untuk melakukan penghantaran terbabit.

Ujar Ahmad Radzi, lembu itu dipercayai adalah untuk dijadikan stok korban serta dianggarkan RM39,000.

Lori yang digunakan sewaktu ditahan pula berjumlah RM100,000 dan membuatkan keseluruhan rampasan bernilai RM139,000.

“Kedua-dua suspek ditahan manakala kes kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.”