
KUALA LUMPUR — Siasatan polis mendapati dua pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) yang maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Taman Melati pada 20 Ogos lalu tidak mengenali antara satu sama lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu berlaku secara kebetulan apabila kedua-dua mangsa, seorang wanita berusia 22 tahun serta seorang lelaki berusia 21 tahun, meninggal dunia pada hari dan lokasi yang sama.
“Hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan dan tidak mengenali antara satu sama lain,
“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan,” katanya.
Jelas Fadil, polis sedang mengumpul bukti untuk meneliti sama ada wujud unsur buli yang membawa kepada insiden tersebut.
Menurutnya, beberapa lagi keterangan akan diambil bagi melengkapkan siasatan dan setakat ini pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kes.
Dalam kejadian pertama, seorang pelajar wanita dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 kira-kira jam 6.48 pagi sebelum ditemui di tingkat lapan kondominium berkenaan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.
Pada hari sama sekitar jam 9.35 malam, seorang pelajar lelaki pula dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 dan ditemui di bahagian belakang bangunan, dan turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan parah dan polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes tersebut. - Getaran, 29 Ogos 2025
