2 Syarikat Agensi Kerja Disyaki Dalangi Sindiket Penipuan Pekerja

19 Feb 2023 • 6:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Abd Jalil Hassan (kanan) bersama lima rakyat Malaysia yang ditipu oleh sindiket penipuan pekerjaan di Thailand, yang dibawa pulang di KLIA hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

SEPANG - Dua syarikat agensi pekerjaan di negara ini disyaki mendalangi aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk dihantar sebagai pekerja sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Taktik syarikat tersebut bagaimanapun terbongkar susulan penahanan beberapa individu yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, syarikat tersebut adalah syarikat agensi pekerjaan berlesen yang menjalankan aktiviti membawa pekerja asing ke negara dalam pelbagai sektor.

Bagaimanapun menurutnya, syarikat tersebut berselindung di sebalik status mereka sebagai agensi pekerjaan sah untuk menjerat mangsa, sebelum dihantar bekerja dengan sindiket di luar negara.

image is not available
Abd Jalil Hassan

“Dua syarikat (tersebut) kini disiasat oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) (untuk melihat) mengapa mereka sanggup merekrut pekerja bagi dihantar ke luar negara sehinggakan mangsa terkandas.

“Ia masih dalam siasatan polis namun mereka adalah agensi pekerjaan yang sah dan merekrut warga asing untuk bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah, buruh ladang. Mereka ada lesen tapi mengambil kesempatan eksport rakyat Malaysia,” katanya.

Abd Jalil menyatakan demikian pada sidang media mengenai kejayaan membawa pulang lima rakyat Malaysia yang ditipu oleh sindiket penipuan pekerjaan di Thailand, hari ini.

image is not available
Abd Jalil memberitahu mangsa kebanyakan terpedaya dengan tawaran lumayan sehingga AS,000 (RM9,600).

Beliau berkata, terdapat berbagai sindiket penipuan pekerjaan yang aktif merekrut rakyat negara ini untuk dihantar bekerja ke luar negara, namun fokus utama PDRM adalah untuk mengenalpasti dalang sebenar kumpulan jenayah tersebut.

“Ada berbagai sindiket, tapi kita sedang cari dalang. Saya percaya (sindiket) ada di Malaysia dan Thailand, mereka bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas taktik merekrut yang digunakan sindiket, Abd Jalil memberitahu, mangsa kebanyakan terpedaya dengan tawaran lumayan sehingga AS$2,000 (RM9,600).

“Namun, ia (sepatutnya) menjadi suatu tanda tanya apabila syarikat di luar negara sanggup membayar individu tanpa kelulusan, tanpa pengalaman dengan jumlah sehingga AS$2,000.

“Jadi benda-benda begini perlu fikir sehingga 10 kali walaupun ia diusahakan oleh syarikat agensi pekerjaan sah tapi tetap kena berhati-hati,” katanya. - Getaran, 19 Februari 2023