
MIRI - Dua anggota tentera didakwa atas tuduhan membunuh rakan setugas mereka di sebuah blok perumahan tentera di sini.
Muhammad Syarin, 23, dari Kedah, dan Mohamad Khuzainah, 21, dari Kelantan, didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan membunuh Muhammad Mugriz Aseri, 21, pada 24 Mac lalu di Kem Sri Miri.
Kedua-dua mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Majistret Ashok Linggam menetapkan 30 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat.

Mengikut fakta kes, pembunuhan terbabit berlaku sekitar jam 2.15 pagi 24 Mac lalu, apabila mangsa dikasari kedua-dua tertuduh selepas terbabit dalam satu pertelingkahan.
Mugriz dikatakan rebah sebaik dikasari dan dikejarkan ke Hospital Miri, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 pagi.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi satu kenyataan mengesahkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung kejadian tersebut.
Bedah siasat awal mendapati kematian Mugriz disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian dada, juga dikenali sebagai contusio cordis.
Kecederaan tersebut yang berlaku akibat hentakan kuat, menyebabkan kerosakan serius pada jantung, sekali gus membawa kepada kematian.
Jenazah Mugriz telah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada jam 11. 55 malam, 26 Mac lalu.
Kes ini telah mengejutkan negara dan menimbulkan kebimbangan mengenai disiplin dan tingkah laku dalam kalangan anggota tentera.
Sehingga hari ini, siasatan oleh pengurusan Tentera Darat Malaysia masih berjalan. - Getaran, 9 April 2025

