
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen JIM) Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin apabila menahan 18 warga Indonesia termasuk dua 'transporter’ berstatus penduduk tetap dan pemastautin sementara di Pointian, malam tadi.
Dalam serbuan jam 11.45 malam di sebuah rumah transit, seramai 15 lelaki dan seorang wanita dan dua bertindak sebagai transporter berusia antara 24 hingga 51 tahun ditahan ketika menunggu masa untuk keluar dari Malaysia melalui lorong tikus di perairan Pontian.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata hasil risikan selama lebih kurang dua minggu telah membawa kepada semua tangkapan dalam Ops Serkap diadakan di daerah tersebut.
”Sindiket berkenaan menyasarkan pendatang tanpa izin yang telah disenarai hitam untuk masuk ke Malaysia dan mahu keluar dari negara ini melalui pantai barat Johor.
“Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM2,500 hingga RM3,500 untuk urusan perjalanan satu hala dan semasa pemeriksaan dijalankan terdapat dua buah kenderaan persendirian yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua 16 pendatang tanpa izin akan dihantar ke negara asal manakala seorang lelaki dan wanita yang berperanan sebagai transporter direman sejak semalam sehingga 22 Nov ini mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, katanya. -Bernama


