2 Varian Utama Di China Menular Dalam Negara Tahun Lalu

3 Jan 2023 • 5:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Dua varian COVID-19 utama yang menular di China ketika ini iaitu BA.5.2 dan BF.7 sudah berada di Malaysia pada Mac dan Ogos tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemuncak penularan varian BA.5.2 adalah sekitar September hingga Oktober lalu dan banyak ditemui di Afrika Selatan, England, China serta Amerika Syarikat.

“Ia dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022. Sehingga 31 Disember 2022, data terkini mendapati 4,152 kes telah dijangkiti dengan BA.5.2.

“Kini prevalen varian ini semakin menurun di seluruh dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, varian BF.7 pula dikesan di Malaysia sejak 21 Ogos tahun lalu.

“Kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemui di Belgium, England, Denmark dan juga China. Sehingga 31 Disember 2022, tiga kes telah dikesan dijangkiti dengan BF.7.

“Kes pertama dikesan pada 21.8.2022, melibatkan kes jangkitan tempatan. Kes kedua pada 6 September 2022 pula adalah kes import jangkitan dari Turki manakala kes ketiga pada 7 Oktober 2022 juga kes jangkitan tempatan,” katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai subketurunan Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Ketururan Dalam Pemantauan (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, situasi itu akan disemak dari semasa ke semasa apabila berlaku perubahan ketara yang memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.

Katanya, perkara tersebut akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota pertubuhan tersebut serta penduduk dunia secara am. - Getaran, 3 Januari 2023