20,000 pengunjung dijangka hadir meriahkan Pesta Kuantan 188 mulai 29-31 Julai 2023
zulfadli
17/07/2023 - 14:42
KUALA LUMPUR 17 Julai - Anak syarikat Hospitality 360 Sdn Bhd dan cabang hospitaliti MAA Group Bhd, Infiniti Indah Sdn Bhd kembali dengan Pesta Kuantan 188 selama tiga hari dari 29 hingga 31 Julai 2023 yang disokong Kerajaan Negeri Pahang, Pelancongan Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Infiniti Indah, Datuk Omar Naresh Mohan berkata, acara tahunan ini telah berkembang dengan pesat dengan sokongan daripada penaja dan sokongan daripada agensi kerajaan yang menjadikan festival itu menjadi kenyataan.
"Festival Pesta Kuantan 188 berlangsung tiga hari dengan penuh keseronokan, acara mesra keluarga yang berhutang keasliannya kepada budaya dan masyarakat Malaysia.
"Setiap tahun, penduduk dan pelawat berkumpul dari seluruh dunia untuk menyaksikan Kuantan pada tahap terbaiknya dan tahun ini, kami menjangkakan sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung," katanya dalam kenyataan media di sini.
Omar berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada Pelancongan Pahang untuk memasukkan Pesta Kuantan 188 sebagai acara tahunan dalam kalendar acara mereka.
"Objektifnya adalah untuk mencipta produk pelancongan baharu untuk Pahang. Kami akan terus menjadikan Pesta Kuantan 188 sebagai hab destinasi pelancongan moden di Pahang dan Pantai Timur," katanya.
Pesta Kuantan 188 akan menampilkan aktiviti keriangan keluarga seperti Perlumbaan Perahu Naga Diraja Pahang, Persembahan Bakat Kuantan 188: Ada Bran?, persembahan kebudayaan, pertunjukan fesyen, zumba, gerai kraftangan dan makanan, Fun Run dan Fun Ride yang menampilkan larian 5 kilometer (km) bersama trek berbasikal sejauh 35 km, dan banyak lagi.

Selain itu, ia termasuk aktiviti kelab kanak-kanak, zoo haiwan peliharaan mini, zipline kanak-kanak, pertandingan karaoke, dan pemeriksaan kesihatan tersedia pada 30 Julai 2023.
Festival itu turut disajikan dengan konsert percuma bersama artis popular yang menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cakra Khan, Ameng Spring, Aizat Amdan, Aishah Retno dan Santesh serta pelakon dan pelawak, Harith Iskander.

Tiket boleh didapati di ticket.kuantan188.com.my/ms/Booking. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pesta Kuantan 188, ikuti akaun Instagram, Facebook dan TikTok untuk kemas kini terkini, serta www.kuantan188.com.my. - DagangNews.com



