
20 Kru Thailand Diselamatkan, Tiga Lagi Masih Hilang Selepas Kapal Kargo Diserang Di Selat Hormuz
BANGKOK -- Sebuah kapal pengangkut pukal Thailand yang sedang melalui Selat Hormuz yang kritikal telah diserang pada hari Rabu, dengan 20 anak kapal berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang, menurut tentera laut Thailand, lapor AFP.
Menerusi gambar yang dikongsikan Tentera Laut Diraja Thailand menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari bahagian badan dan struktur atas kapal Mayuree Naree yang berdaftar di Thailand, dengan rakit penyelamat kelihatan terapung di dalam air.
Difahamkan, kapal tersebut telah diserang ketika sedang merentasi Selat Hormuz selepas bertolak dari pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu, kata pihak tentera laut dalam satu kenyataan
"Butiran khusus dan punca serangan sedang dalam siasatan," maklum kenyataan itu.
Tentera laut Oman telah menyelamatkan 20 pelaut dan usaha kini sedang dijalankan untuk menyelamatkan baki tiga lagi anak kapal.
Sebelum ini, Iran telah melancarkan serangan terhadap jiran-jiran pengeksport minyaknya, mengancam laluan perkapalan di Selat Hormuz dan menjerumuskan ekonomi tenaga global ke dalam krisis.
Walau bagaimanapun, masih belum jelas sama ada insiden ini merupakan salah satu daripada tiga kapal komersial yang menurut pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom telah diserang di Teluk pada hari Rabu.
Laman web pengesanan kapal menunjukkan Mayuree Naree berada berhampiran pantai Oman di Selat Hormuz, bergerak perlahan pada kelajuan sedikit lebih daripada satu knot.
Kapal pengangkut itu sepanjang 178 meter dengan sesaran 30,000 tan, katanya, sambil menambah bahawa ia dalam perjalanan menuju ke Kandla di India.
Tentera laut Thailand berkata kapal itu dimiliki oleh sebuah syarikat pengangkutan Thailand, Precious Shipping.

