Debaran peminat muzik tempatan akhirnya terjawab apabila 20 lagu terbaik disahkan bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA)!
Pengumuman rasmi yang dibuat menerusi program Muzik Muzik pada Ahad membuka tirai kepada persaingan yang dijangka paling sengit sempena edisi ke-40 acara berprestij itu.
Bakal berlangsung pada 17 dan 18 April 2026 secara langsung dari Studio 1 Glenmarie, AJL40 SA menyaksikan gabungan nama besar industri dan bakat generasi baharu yang masing-masing tampil dengan karya kuat untuk merebut tiket ke pentas final.
Antara nama yang mencuri perhatian termasuk Aina Abdul menerusi lagu Kamu, Dayang Nurfaizah dengan Lemah, serta Shila Amzah yang mempertaruhkan Pernah Punya Aku.
Turut tidak kurang hebat, Haqiem Rusli hadir dengan dua sentuhan, sebagai penyanyi dan komposer.
Barisan lain yang bakal menggamatkan pentas termasuk Stacy (Menyala), Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa), Khai Bahar (Kerana Ego) dan Amir Masdi (Nurcinta).

Tidak ketinggalan, elemen variasi muzik turut disuntik menerusi kumpulan seperti Floor 88 dan kolaborasi unik Kmy Kmo bersama Luca Sickta serta Salammusik.
Daripada 30 lagu terbaik carta Muzik Muzik 40, hanya 20 karya dengan markah tertinggi dipilih selepas melalui penilaian teliti barisan juri profesional, menjadikan setiap lagu yang layak benar-benar ‘berat’ dan berpotensi mencipta kejutan.
Lebih menarik, senarai lagu yang tidak berjaya mara juga terdiri daripada karya popular seperti Gasoline (Akim & The Majistret), Peluk (Hael Husaini & Nadeera) dan Hamba Cinta (Syamel), membuktikan saingan tahun ini sememangnya luar biasa sengit.
Dengan kombinasi vokal mantap, susunan muzik berkualiti dan lirik penuh emosi, AJL40 SA bukan sekadar pentas saringan, tetapi medan sebenar untuk membuktikan siapa yang paling layak bergelar juara.
Berikut adalah senarai penuh 20 lagu yang layak ke AJL40 SA:
1. Hijab Rindu – Black Hanifah
2. Nurcinta – Amir Masdi
3. Nostalgila – Haqiem Rusli
4. Lemah – Dayang Nurfaizah
5. Kerana Ego – Khai Bahar
6. Tangisan Seorang Pendosa – Marsha Milan
7. Pernah Punya Aku – Shila Amzah
8. F – Floor 88
9. Tiwikarma – K.O.I
10. Puaskah – Ameerais & Mariam Saim
11. Seribu Tahun Lagi – Imran Ajmain
12. Tak Adil – Aisha Retno
13. Semacam Pandora – Hazama
14. Rasa & Takdir – Amira Othman & Irfan Haris
15. Cak Cak Cekuk – Wani Kayrie
16. Hilangmu Tak Terganti – Tajul & Afieq Shazwan
17. Kamu – Aina Abdul
18. Menyala – Stacy
19. Ke Mana Ni – Kmy Kmo, Luca Sickta & Salammusik
20. Lumangad Oku Dika – Ryenald Guntabid
Jangan lupa saksikan AJL40 Separuh Akhir pada 17 & 18 April, jam 9 malam di TV3 atau strim di Tonton.
Siapa bakal ke final? Kita tunggu! - Getaran, 7 April 2026
