20 Pelumba Sim Terbaik Negara Siap Berentap di Toyota GR Malaysia eRacing Championship Grand Finals 2025

LocalGaming
9 Oct 2025 • 6:42 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Dua puluh pelumba simulator terbaik negara bakal berentap di Toyota GR Malaysia eRacing Championship Grand Finals 2025 yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober ini di Sunway University. Pertandingan kali ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM123,000 serta peluang berprestij untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Acara ini menandakan edisi kelapan penganjuran kejohanan simulator paling berpengaruh di Malaysia oleh UMW Toyota Motor, yang terus memperkukuh kedudukan Toyota sebagai peneraju dalam pembangunan bakat serta kemajuan sukan permotoran digital di negara ini.

Sejak diperkenalkan, kejohanan ini telah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan membuka peluang kepada pelumba maya untuk melangkah ke arena perlumbaan sebenar melalui Toyota GAZOO Racing Young Talent Development Programme. Satu program pembangunan menyeluruh yang menekankan aspek disiplin, ketahanan mental, kerja berpasukan serta kematangan profesional di dalam dan di luar litar.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata, “Pengenalan format kelayakan pelbagai platform tahun ini telah menaikkan lagi tahap saingan dan melahirkan lebih ramai pelumba serba boleh yang memiliki daya adaptasi tinggi serta kemahiran strategik. Ia mencerminkan komitmen Toyota terhadap pembangunan bakat secara holistik, bukan sahaja dalam aspek pemanduan tetapi juga kepimpinan dan keperibadian.”

Tahun ini, kejohanan telah berkembang daripada platform tunggal Gran Turismo kepada format lebih komprehensif yang turut merangkumi Assetto Corsa, RaceRoom, iRacing dan Gran Turismo 7. Kesemuanya digunakan secara meluas dalam liga profesional sim racing di peringkat global.

Langkah ini telah menarik penyertaan baharu, dengan 35 peratus peserta separuh akhir terdiri daripada muka baharu, termasuk pelumba sim profesional berpengalaman.

Pemenang Grand Finals akan mewakili Malaysia ke TGR Asia Esports GT Championship di Bangkok pada November ini, menentang pelumba terbaik dari Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. Malaysia akan mempertahankan gelaran juara rantau ini selepas kejayaan bersejarah Taj Izrin Aiman yang muncul juara Asia pada tahun 2024.

Selain pertandingan utama, Toyota turut meneruskan kempen Campus Tour, yang membawa pengalaman perlumbaan maya ke universiti-universiti di seluruh negara. Pelajar berpeluang mencuba simulator profesional dan bersaing untuk merebut tempat dalam kejohanan peringkat kebangsaan. Setakat ini, tiga pelajar daripada siri Campus Tour telah diserap ke dalam program pembangunan bakat muda Toyota, membuktikan keberkesanan pendekatan akar umbi dalam melahirkan bakat baharu permotoran tempatan.

Dalam masa yang sama, Toyota mengumumkan pembukaan pendaftaran untuk Toyota GAZOO Racing Young Talent Development Programme 2026 yang bakal bermula pada 11 Oktober 2025. Program ini terbuka kepada peserta berumur 16 hingga 22 tahun dengan latar belakang sim racing atau karting, bagi peluang menyertai Rookie Class Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge 2026.

Pendaftaran boleh dibuat di https://tyt.my/rookiesignup2026.

Acara Grand Finals ini terbuka kepada semua dengan kemasukan percuma. Pengunjung juga berpeluang mencuba simulator, membeli barangan rasmi Toyota serta memenangi pengalaman eksklusif VIP sempena Vios Challenge Finale Musim 8 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada Januari 2026.

Untuk maklumat lanjut dan siaran langsung, layari:
Facebook: facebook.com/tgrmy
Instagram: instagram.com/tgrmalaysia
YouTube: youtube.com/@tgrmalaysia
Laman rasmi: www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia

image is not available