
KUALA NERUS: Seramai 200 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada golongan miskin tegar di Terengganu menerima sijil perlindungan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) sempena Jelajah SIKR di negeri ini hari ini.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (gambar) berkata Terengganu menjadi lokasi kedua penganjuran program Jelajah SIKR selepas kali pertama di Miri, Sarawak, yang dijalankan dengan kerjasama strategik PruBSN Takaful Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau berkata SIKR adalah perlindungan asas yang diberikan kepada KIR miskin tegar dan miskin secara percuma dalam tempoh 12 bulan sebagai persediaan sekiranya berlaku risiko tidak dijangka seperti kes kemalangan serta kematian.
“Seramai 268,887 KIR miskin tegar dan miskin yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih di seluruh negara telah mendapat perlindungan di bawah program SIKR hasil kerjasama padu antara ICU JPM dengan PruBSN Takaful Bhd.
“Sejak dilancarkan pada 1 Sept 2022 hingga 28 Feb lepas, sebanyak 692 kematian telah direkodkan dan bayaran manfaat ada sesetengah sudah dibayar dan ada yang sedang dalam tindakan pihak PRuBSN Takaful Bhd yang melibatkan kos pembayaran kira-kira RM6.92 juta,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan polisi perlindungan SIKR dan serahan cek bernilai RM10,000 kepada empat waris KIR yang meninggal dunia di Bandar Baru Kuala Nerus di sini hari ini, turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN Takaful Bhd Datin Seri Azlin Arshad.
Turut disampaikan, sumbangan bakul kasih dan 220 unit beg sekolah kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Mengulas lanjut Wan Ahmad Dahlan berkata selain penyerahan sijil perlindungan insurans, Jelajah SIKR juga bertujuan memberi penerangan yang jelas kepada rakyat berkaitan kepentingan perlindungan insurans apabila kematian ketua keluarga atau mengalami kecacatan kekal.
Menurutnya kerajaan melalui ICU JPM telah memperuntukkan RM13.4 juta bagi pelaksanaan SIKR yang meliputi KIR berusia antara 19 hingga 60 tahun.
“Kita membawa konsep jelajah bagi menerangkan SIKR kepada rakyat dengan lebih jelas, insya-Allah ia akan diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai bakal mendapat manfaat. Terima kasih kepada PruBSN Takaful Bhd yang menjadi rakan strategik serta operator bagi SIKR,“ katanya. -Bernama

