200+ Makanan Warisan Kebangsaan Mengikut Kategori

LocalFood
28 Nov 2025 • 8:04 PM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Makanan warisan kebangsaan mencerminkan identiti serta budaya masyarakat Malaysia. Jabatan Warisan Negara (JWN) baru-baru ini secara rasmi mewartakan 117 jenis makanan Malaysia sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Deklarasi Objek Warisan 2025. Untuk mengetahui senarai penuh warisan kebangsaan yang telah diwartakan, layari Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara di www.heritage.gov.my/

Untuk pengetahuan anda, jumlah makanan warisan kebangsaan Malaysia yang diwartakan secara berperingkat oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) sejak pengisytiharan pertama sehingga 2025 telah pun melebihi 200 jenis.

Dari pencuci mulut, makanan berat sehingga ke minuman, terdapat pelbagai hidangan unik yang menjadi kebanggaan negara.

Jom semak senarai lengkap serta kategori makanan warisan kebangsaan Malaysia di bawah.

Apa Itu Makanan Warisan Kebangsaan Malaysia?

Makanan Warisan Kebangsaan Malaysia ialah makanan tradisional yang telah diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada Warisan Kebangsaan di bawah kategori Warisan Tidak Ketara.

Ia merangkumi hidangan turun-temurun daripada pelbagai etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta komuniti lain.

​Pengiktirafan bertujuan melindungi resipi dan cara penyediaan asal supaya tidak hilang ditelan zaman, selain memupuk rasa bangga serta tanggungjawab generasi muda untuk meneruskan warisan ini.

Ia juga menyokong pelancongan budaya kerana makanan warisan menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Menjelang beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan menu tradisional (lebih 200) telah diiktiraf sebagai makanan warisan masyarakat Malaysia.

Terdapat kira-kira7 kategori utama makanan warisan kebangsaan yang diwartakan, antaranya ialah makanan ruji, lauk-pauk, kuih tradisional/kuih-muih, pencuci mulut, snek, minuman dan buah-buahan tempatan.

Pengkategorian ini membantu membezakan fungsi hidangan sama ada sebagai hidangan utama, sajian sampingan, minuman atau kuih perayaan.

Senarai Makanan Warisan Kebangsaan

Pada 4 Februari 2024 yang lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara telah memaklumkan bahawa terdapat 10 makanan telah diwartakan sebagai objek warisan melakui kuasa yang diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

10 makanan yang dimaksudkan adalah :

1. Burasak

Burasak adalah sajian tradisional orang Bugis yang biasanya disajikan pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Cukup enak bila dipadankan dengan juadah Hari Raya seperti rendang, sayur lodeh dan kuah kacang.

image is not available

2. Mi Kolok

Hidangan yang cukup popular dari Sarawak ini menggunakan yee mee, hirisan daging atau ayam yang direbus serta kuah sup.

Ia sangat mudah dijumpai di restoran dan gerai di sekitar Kuching.

image is not available
Sumber : Sinar Harian

3. Nasi Ambeng

Nasi ambeng merupakan makanan etnik Jawa yang merangkumi hidangan nasi putih bersama aneka lauk pauk seperti ayam kicap, rendang daging, sambal goreng tauhu tempe, serundung dan bergedil.

Ia biasanya dihidangkan di majlis keramaian di dalam talam atau daun pisang.

image is not available
Sumber : juiceonline.com

4. Dodol Kukus Tahi Minyak

Dodol kukus tahi minyak merupakan kuih tradisional negeri Pahang terutamanya di daerah Chemor.  Ia mempunyai kaedah penyediaan yang berbeza berbanding dodol biasa.

Berbanding dodol biasa yang perlu dikacau berterusan pada tempoh yang lama, kaedah penyediaan dodol kukus pula lebih ringkas dan pantas.

Rasanya pula dikatakan lebih lemak dan enak apabila ditabur dengan tahi minyak.

image is not available
Sumber : rasa.my

5. Kuih Genggang / Kuih Lapis

Kuih ini sudah menjadi kemestian dalam majlis keramaian di kampung.

Terkenal dengan lapisan berwarna putih dan merah jambu, ia dihasilkan menggunakan campuran tepung gandum, tepung beras serta tepung jagung.

image is not available
Sumber : Sinar Harian

6. Kuih Karas

Juga dikenali sebagai kuih jala, kuih karas merupakan snek tradisional dari Kedah.

Kuih ini biasanya ditemui di daerah Kota Setar dan sesuai untuk dinikmati ketika minum petang.

Di Sarawak, ia juga dikenali sebagai kudapan tradisional bagi kaum Iban.

image is not available
Sumber : Sinar Harian

7. Uthappam

Uthappam merupakan makanan istimewa Tamil Nadu yang dihasilkan daripada adunan beras.

Berbentuk seperti pancake, uthappam mempunyai rupa seakan tosai tetapi teksturnya lebih tebal.

Mungkin ramai yang pertama kali mendengar tentang hidangan ini kerana tidak semua restoran India atau kedai mamak menyajikan hidangan ini.

Ia dibentuk seperti lempeng dan dihiasi dengan tomato, capsicum, daun ketumbar dan bawang.

Uthappam biasanya dimakan ketika sarapan pada dan dipadankan bersama sambar atau chutney.

image is not available
Sumber : Sinar Harian

8. Jeruk Tuhau

Jeruk tuhau merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah.

Tuhau merupakan sejenis tumbuhan yang berada dalam kategori yang sama seperti halia dan lengkuas dan tumbuh liar di tepi sungai atau paya.

Untuk menghasilkan jeruk tuhau, tuhau perlulah dicincang dan dicampurkan dengan beberapa bahan seperti limau kasturi, bawang putih dan cili padi.

Kemudian, ia perlu disimpan di dalam bekas kedap udara untuk djadikan jeruk serta dihidangkan bersama nasi dan ikan masin.

image is not available

9. Air Katira

Air berwarna hijau ini sering menjadi tumpuan setiap kali tibanya bulan Ramadan di negeri Johor.

Air ini dikatakan unik kerana masih lagi mengekalkan resepi tradisi yang asli dengan penggunaan bahan-bahan seperti kurma, getah anggur, buah semangkuk dan badam.

image is not available

10. Bak Kut Teh

Bak kut teh atau sup rusuk khinzir merupakan hidangan masyarakat Cina yang dipercayai mula diperkenalkan di Klang, Selangor.

Direneh dengan pelbagai jenis rempah dan herba, ia menjadi makanan khusus bagi masyarakat Cina Malaysia kerana ia tidak terdapat di negara lain.

Bak Kut Teh juga merupakan satu-satunya juadah masyarakat Cina yang diwartakan berbanding 9 juadah yang disenaraikan.

image is not available
Sumber :The Vocket

Makanan Tradisional Rakyat Malaysia  

Sekiranya anda sudah biasa dengan makanan tradisional popular seperti nasi lemak dan roti canai, di sini kami ingin kongsikan lagi hidangan tradisional tempatan lain yang unik dan wajib untuk dicuba.

Memetik Jabatan Warisan Negara, hidangan berikut juga telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan.

1. Gulai Tempoyak Ikan Patin

Telah diiktiraf sebagai makanan warisan sejak 2009, tempoyak ikan patin merupakan juadah kebanggaan masyarakat Pahang terutamanya di Temerloh.

Juadah ini dihasilkan menggunakan ikan patin dan tempoyak iaitu isi durian yang telah diperam. Rasanya yang masam, masin dan sedikit pedas sememangnya cukup unik dan wajib dicuba.

image is not available
Sumber : rasa.my

2. Pulut Kukus Dalam Periuk Kera

Pulut Kukus Periuk Kera merupakan salah satu makanan orang Asli Semelai di Malaysia. Sebelum menggunakan pulut, masyarakat orang Asli zaman dahulu menggunakan beras pulut padi huma.

image is not available

3. Hati Sukma

Mungkin ini pertama kali anda mendengar tentang kuih Hati Sukma. Ia sukar dijumpai dan jarang dihasilkan oleh masyarakat masa kini.

Kuih Hati Sukma cukup terkenal di Pantai Timur khususnya pada bulan Ramadan atau musim perayaan.

Ia dihasilkan menggunakan ubi keledek, tepung kastad, tepung gandum dan santan dan digentel menjadi bentuk bulat.

image is not available

4. Gulai Asam Rong

Gulai asam rong atau asam rum merupakan hidangan yang terkenal di Pahang khususnya di Jerantut, Kampung Kuala Tahan, Kampung Ulu Tembeling.

Ia telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

Asam rong diperbuat daripada biji getah yang diproses mejadi asam rong. Rasanya dikatakan sedikit pahit dan berlemak.

Asam rong yang telah dijerukkan akan dicampurkan bersama bahan lain seperti daun kesum, bunga kantan dan kunyit hidup.

image is not available

5. Manok Pansoh

Manok pansoh adalah hidangan ayam kampung yang dimasak dalam buluh. Ia merupakan juadah terkenal bagi masyarakat Iban dan Bidayuh ketika musim perayaan.

Manok pansoh sering dipadankan bersama nasi pulut atau lemang.

image is not available

6. Pulut Tekan Seri Kaya

Telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2012, pencuci mulut ini merupakan kuih warisan bagi masyarakat peranakan Baba Nyonya di Melaka dan Pulau Pinang.

Ia dipanggil pulut tekan kerana pulut ini sering ditekan sehingga padat sebelum dipotong dan disajikan bersama seri kaya.

Ia juga dikenali dengan nama lain seperti pulut tai tai dan pulot tayai.

Untuk menyediakan pulut tekan, pulut ditanak bersama daun pandan dan diwarnakan menggunakan warna biru asli daripada bunga telang.

image is not available

7. Opok-Opok

Keropok rangup ini merupakan hidangan tradisional bagi negeri Kelantan. Berbanding keropok lain yang digoreng menggunakan minyak, opok-opok dibakar di atas bara api.

Proses membuatnya dikatakan remeh dan memerlukan kepakaran yang tinggi terutamanya ketika proses membakar.

image is not available

8. Kuih Cincin

Kuih cincin adalah kuih tradisional yang popular di negeri Sabah. Ia diperbuat daripada gula, gula nipah/gula apong, tepung beras dan gula Melaka.

Kuih ini perlu dibiarkan kering sebelum digoreng. Rasanya manis dan sedikit masin.

image is not available

9. Kari Devil

Juga dikenali sebagai Kari Ayam Debal, kari devil merupakan hidangan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Portugis yang menetap di Melaka.

Ia merupakan sejenis menu ayam yang dimasak menggunakan beberapa bahan seperti sos cili, lengkuas dan cuka.

Uniknya kari ini tidak menggunakan santan pekat, namun teksturnya masih pekat kerana penggunaan buah keras.

image is not available

10. Sup Nelayan

Sup nelayan sinonim dengan masyarakat Portugis di Melaka yang bekerja sebagai nelayan.

Ia dihasilkan dengan bahan-bahan seperti belimbing buluh, udang, sotong, serai dan bawang.

image is not available

11. Ais Kepal

Telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2015, ais kepal merupakan pencuci mulut yang cukup popular di Malaysia.

Minuman penyejuk tekak ini dihasilkan daripada ketulan ais yang disagat dan dikepal dengan padat sehingga menjadi bentuk bola.

Kemudian, ia disiram dengan air gula yang dimasak bersama pewarna ros dan daun pandan.  

image is not available

Dari pencuci mulut sehinggalah ke hidangan berat, terdapat aneka hidangan tradisi yang menarik.

Adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memelihara dan meraikan kepelbagaian juadah warisan negara.

Sumber :

Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara, Facebook Jabatan Warisan Negara (Department of National Heritage), Facebook ASRAT