
KUDAT: Kira-kira 200 penduduk Kampung Tanjung Kapur di sini hilang tempat tinggal selepas 20 rumah jenis tidak kekal hangus dalam kebakaran awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata 21 anggota bersama tiga jentera memadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.28 pagi.
“Pemadaman dijalankan menggunakan dua saluran daripada sumber air pili bomba. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.21 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.43 pagi ini,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Operasi oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan BBP Kota Marudu itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah hari ini memberitahu satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka pagi tadi di Rumah Rehat Daerah Kudat di sini bagi menempatkan mangsa kejadian.
“Sehingga pukul 2 petang tadi 252 mangsa daripada 44 keluarga ditempatkan di PPS itu, manakala proses penyaluran bantuan sedang dilakukan,” kata kenyataan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

