IPOH – Masalah pemilikan dan penggunaan tanah melibatkan kira-kira 200 petani di kawasan pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.
Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perbincangan antara beberapa pihak bagi mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, perbincangan itu termasuk persetujuan secara prinsip untuk membantu menyediakan kawasan alternatif bersesuaian bagi membolehkan petani yang terjejas meneruskan aktiviti pertanian seperti biasa.
“Secara prinsipnya mereka tiada halangan bagi inisiatif ini, cuma kita masih lagi berunding daripada sudut terma, tempoh penyewaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak dan sesi perbincangan bersama petani berhubung isu status tanah di Kanthan, Chemor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan pembentangan yang diterima, terdapat kawasan tanah seluas hampir 230 ekar di jajaran laluan kereta api lama di Tanjung Rambutan yang berpotensi digunakan bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, jika dipecahkan mengikut plot dengan anggaran satu ekar bagi setiap individu, keluasan itu sudah mencukupi untuk menampung keperluan petani terlibat.
“Ini isu yang sudah lama berlarutan dan kita tidak mahu ia terus tertangguh. Kita mahu satu penyelesaian yang konklusif supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dan aktiviti ekonomi tanpa gangguan,” katanya.
Sebelum ini, petani terlibat yang antaranya mengusahakan tanaman sayur-sayuran merayu campur tangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen Tambun selepas berdepan tindakan pengosongan.
Tindakan pengosongan dilakukan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek SVTP memandangkan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan diusahakan secara tidak sah sejak lebih 10 tahun lalu tanpa sebarang bayaran premium dan cukai tanah pertanian.
