2025 Tahun Bertuah Dr Cardin, Penjenamaan Semula Menjadi, Terus Mendunia

LocalMen's Fashion
25 Dec 2025 • 12:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Suatu ketika dahulu, jenama Dr Cardin sering dikaitkan dengan sepatu formal dan gaya klasik yang dekat di hati generasi terdahulu. 

Namun landskap fesyen yang sentiasa berubah menuntut keberanian untuk berevolusi, dan 2025 menjadi titik penting apabila Dr Cardin tampil dengan penjenamaan semula yang lebih segar, moden dan relevan, sekali gus mengubah persepsi bahawa jenama ini hanyalah pilihan ‘bapak-bapak’. 

Hari ini, Dr Cardin dilihat semakin dekat dengan cita rasa generasi muda, khususnya Gen Z. Kesungguhan ini dizahirkan menerusi penganjuran sesi intimasi bersama media tempatan, pempengaruh dan pelanggan setia yang berlangsung di Rumi House Moonkitaa baru-baru ini. 

image is not available

Acara tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan yang diterima sepanjang lebih lima dekad perjalanan jenama ini. 

Ketua Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee membuka peluang kepada pihak media yang hadir untuk mengenali jenama ini dengan lebih dekat menerusi sesi borak. 

Dalam sesi tersebut, Charl Yee berkongsi kisah di sebalik penjenamaan semula serta sejarah panjang Dr Cardin yang sering disalah anggap sebagai jenama antarabangsa. 

Lebih 50 Tahun Bertapak Dalam Industri 

Menurutnya, ramai terkejut apabila mengetahui Dr Cardin sebenarnya diasaskan di Malaysia oleh datuknya sejak lebih 50 tahun lalu sebelum diteruskan oleh bapanya pada era 90-an. 

Apabila generasi ketiga mengambil alih, perubahan menyeluruh dilakukan, daripada pengenalan sistem e-dagang sehinggalah kepada pembaharuan rekaan agar lebih selari dengan gaya hidup semasa.

image is not available

Menariknya, nama Dr Cardin bukanlah merujuk kepada individu sebenar. ‘Cardin’ diambil daripada perkataan Itali yang membawa maksud sepatu berkualiti, manakala ‘Dr’ melambangkan Solusi, simbolik kepada jenama yang membantu menyelesaikan masalah pengguna dalam memilih kasut yang sesuai. 

Seiring dengan perubahan ini, Dr Cardin turut mengakui bahawa sebelum ini jenama mereka lebih dekat dengan golongan berusia. Oleh itu, keputusan dibuat untuk tampil dengan koleksi yang lebih moden dan trendy, sekaligus memperluaskan penawaran daripada sekadar sepatu kulit hitam kepada sneakers, kasut kasual dan beg tangan dengan pilihan warna yang lebih berani.

Bekerjasama Dengan Barisan Artis Terkenal 

Sepanjang lebih lima dekad dalam pasaran, Dr Cardin telah menukar logo mereka sebanyak tujuh kali. Logo terbaharu yang diperkenalkan awal tahun ini menampilkan tiga bulatan bujur yang melambangkan portal ke semesta lain, simbol keterbukaan jenama ini untuk terus meneroka idea dan rekaan baharu mengikut peredaran masa. 

image is not available

Pendekatan segar ini turut diperkukuhkan dengan sokongan barisan selebriti tempatan seperti Amelia Henderson, Bella Astillah, Nadhir Nassar dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjaya melonjakkan lagi keterlihatan Dr Cardin dalam kalangan generasi muda.

"Saya sangat berterima kasih kepada Amelia kerana dia sudi berkolaborasi bersama Dr Cardin ketika kami baru-baru buat penjenamaan semula. Sebagai seorang selebriti terkenal yang sering bekerjasama dengan jenama antarabangsa, dia tidak kisah berkolaborasi bersama jenama lokal seperti kami. Saya sangat terharu. 

"Begitu juga dengan Nadhir Nassar, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq. Kolaborasi bersama mereka melonjakkan lagi jenama Dr Cardin untuk lebih dikenali ramai terutamanya dalam kalangan generasi muda," ujar Charl Yee.

Tahun 2025 turut menyaksikan pelbagai kejayaan apabila Dr Cardin menganjurkan pertunjukan fesyen yang digabungkan dengan siaran langsung TikTok dalam konsep unik Kedai Runcit. 

Sambutan luar biasa diterima sehingga kesemua koleksi yang dipamerkan habis terjual, termasuk The Origin Heritage Sneakers Denim Series, Drift Ballet Sneakers serta Era Bag dan Dome Bag. 

image is not available

Melangkah ke hadapan, Dr Cardin sudah pun merangka perancangan besar untuk 2026 dengan mengumumkan kolaborasi bersama jenama terkenal Bulan Bintang untuk koleksi Lebaran. 

“Fokus terbesar kami adalah koleksi raya tahun hadapan. Kami akan berkolaborasi bersama Bulan Bintang. Koleksi ini akan dilancarkan pada penghujung Januari 2026, dan kami akan memperkenalkan wajah baharu untuk kempen raya ini. 

“Apa yang menarik tentang koleksi ini adalah kami juga akan melancarkan koleksi kasut tumit tinggi," tambah Charl Yee. 

Daripada jenama warisan kepada simbol fesyen kontemporari, perjalanan Dr Cardin hari ini membuktikan bahawa keberanian untuk berubah adalah kunci untuk terus relevan dan mendunia. - Getaran, 25 Disember 2025

Foto : Dr Cardin

View Original Article