2026 agak malang untuk Indonesia

WorldEnvironment
28 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 2026 agak malang untuk Indonesia

Kulu, kulu, kulu, hujan turunlah berkumandang hampir setiap hari di platform TikTok diikuti lagu orang bodoh bakar hutan.

Lagu hujan turunlah menandakan kerinduan sangat mendalam warga kota Pontianak agar hujan turun selepas berminggu-minggu wilayah Kalimantan Barat diliputi asap jerebu, manakala orang bodoh bakar hutan membidas perbuatan manusia yang sanggup memusnahkan alam semula jadi kerana ketamakan mereka.

Umum mengetahui jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut khususnya di Kalimantan dan Pulau Sumatera dilaporkan bakal berterusan hingga akhir tahun ini atau awal 2027.

Beribu-ribu kes penyakit berkaitan sistem pernafasan dilaporkan, malah masyarakat di wilayah-wilayah terjejas yang terpaksa meneruskan kehidupan di persekitaran umpama planet asing sangat menyedihkan.

Kerajaan Indonesia menyatakan, lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara antara Januari hingga Julai lalu sedangkan Projek Nusantara Atlas menganggarkan angka kemusnahan hampir mencecah 900,000 hektar antara Januari hingga Ogos 2026.

Keluasan kawasan musnah menyamai beberapa kali ganda saiz negara Singapura, namun lebih menyedihkan, bencana ini berpunca daripada tangan manusia.

Sehingga kini, penulis masih belum melihat berita syarikat atau individu yang dihukum kerana membakar hutan.
2026 menjadi tahun mencabar buat penduduk negara jiran, Indonesia. Masalah kebakaran hutan atau lebih tepat, pembakaran hutan antara bencana menimpa tahun ini.

Awal tahun ini, masyarakat di sana berdepan bencana alam semula jadi seperti tanah runtuh dan banjir kilat.

Beberapa minggu kemudian, nilai pasaran kira-kira AS$120 bilion (RM488 bilion) hilang dari Bursa Saham Jakarta, diikuti oleh mata wang rupiah jatuh ke paras terendah, menyaksikan nilai mata wang Indonesia itu bersamaan lebih 17,000 rupiah (RM3.86) untuk satu dolar Amerika
Syarikat.

Ia menyebabkan barangan makanan yang diimport menjadi lebih mahal seperti kacang soya untuk membuat tempeh, gandum bagi menghasilkan mi serta ternakan hidup contohnya.

Kejatuhan nilai mata wang rupiah meresahkan rakyat jelata yang terpaksa berbelanja lebih sedangkan pendapatan mereka kekal tidak bertambah.

Pada pertengahan tahun ini, rakyat Indonesia sekali lagi digemparkan berita kenaikan harga bahan api seperti gas memasak, petrol dan diesel rentetan perang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran membawa kepada penutupan Selat Hormuz.

Namun, kerajaan berusaha mengekalkan harga bahan api bersubsidi sepanjang tahun ini.Kos sara hidup yang meningkat dengan golongan berpendapatan rendah paling terkesan membawa kepada tunjuk perasaan di Jakarta dan beberapa bandar utama lain.

Lewat tahun ini, Indonesia digemparkan pula dengan kejadian letusan beberapa gunung berapi terutamanya Anak Krakatau di Selat Sunda.
2026 berbaki beberapa bulan lagi, namun adakah berita gembira buat rakyat Indonesia pada penghujung ini.

Mungkinkah kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto dapat berbuat sesuatu untuk mengambil hati rakyatnya.

The post 2026 agak malang untuk Indonesia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved