21 cabang PKR Sabah sokong Nurul Izzah calon Timbalan Presiden

LocalPolitics
7 May 2025 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 21 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

KOTA KINABALU – Sebanyak 21 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebagai wakil kepada 21 cabang tersebut, Nurul Izzah merupakan seorang tokoh wanita muda yang berprinsip, berwibawa dan berpengalaman luas dalam perjuangan reformasi sejak lebih dua dekad lalu.

“Nurul Izzah bukan sahaja simbol harapan rakyat, malah menjadi suara progresif yang sentiasa memperjuangkan keadilan sosial, reformasi institusi dan hak rakyat di seluruh negara.

“Kami percaya bahawa kehadiran beliau di barisan kepimpinan tertinggi parti akan membawa nafas baharu, memperkukuh agenda reformasi serta mengangkat suara akar umbi, khususnya di Sabah yang selama ini memerlukan perhatian daripada pemimpin yang berjiwa rakyat dan peduli dengan perjuangan rakyat Sabah, terutama pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selaku Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, kami ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden seperti yang diumumkan oleh beliau sebelum ini,” katanya dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, pada Rabu.

Katanya lagi, barisan kepimpinan cabang di Sabah ketika ini sedang menunggu pengumuman rasmi daripada beliau sendiri dan akan bersedia memberi sokongan jika ia membawa kebaikan kepada perjuangan parti.

“Kami yakin ketokohan beliau sebagai Puteri Reformasi mampu untuk memartabatkan imej parti dalam kalangan generasi muda serta memberi harapan dan nafas baharu kepada gerakan reformasi dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa penilaian risiko perlu dibuat sebelum sebarang pengumuman dilakukan.

“Kita tidak mahu parti terus bergolak dengan pelbagai spekulasi yang menimbulkan keraguan dan syak wasangka.

“Perlu dipastikan parti reformasi ini terus didokong oleh rakyat dan menjadi harapan untuk masa depan yang lebih baik.

“Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti ini dan idealisme perjuangan yang kita dokong selama ini. Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap sebarang keputusan dan tindakan akan terus mengukuhkan parti di mata rakyat Sabah serta memberi keyakinan kepada ahli dan pengundi.