
TAWAU: Perbicaraan melibatkan tujuh pertuduhan tambahan merogol terhadap seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan kerana merogol dua anak kandungnya di Lahad Datu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Julai.
Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suhayl Aminin Sallehuddin memaklumkan bahawa laporan perubatan mangsa masih belum diperoleh.
Semasa prosiding pada 6 Mei lalu lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai guru tuisyen sambilan itu mengaku bersalah terhadap semua tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya yang juga merupakan salah seorang mangsa dalam kes di Lahad Datu.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 23 Jun (Selasa) untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Tertuduh didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 25 tahun dalam tujuh kejadian berasingan di tiga hotel di Jalan Bakau, Jalan Dunlop dan Jalan Masjid.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 4 hingga 6 Disember 2025 di Jalan Bakau; 18 hingga 19 Disember 2025, 11 hingga 12 Januari, 29 hingga 30 Januari, 25 hingga 26 Februari serta 1 hingga 3 Mac 2026 di Jalan Dunlop dan 18 hingga 19 Mac 2026 di Jalan Masjid.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali jika sabit kesalahan.
Pada 8 April lalu Mahkamah Sesyen Lahad Datu menjatuhkan hukuman keseluruhan 165 tahun penjara dan 110 sebatan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.
Menurut laporan terdahulu yang memetik Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Jimmy Panyau, kedua-dua mangsa didakwa telah dirogol sejak masing-masing berusia 15 dan 18 tahun.
Mangsa juga didakwa dipaksa melakukan hubungan seks di bawah ugutan akan dipukul jika enggan, dalam kejadian yang dikatakan berlaku sejak 2016.
Lelaki itu ditahan selepas kedua-dua anak perempuannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 22 Mac tahun ini.





