21 Orang Asli disyaki ceroboh tanah Sultan Pahang direman

LocalPolitics
10 Feb 2026 • 5:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

PEKAN – Seramai 21 Orang Asli direman kerana disyaki menceroboh serta melakukan kerosakan di ladang milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, perintah reman terhadap kesemua individu berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Melody Wong Sze Woon selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Menurutnya, mahkamah membenarkan perintah reman selama satu hari terhadap 17 wanita Orang Asli dan kesemua mereka akan dibebaskan hari ini selepas proses dokumentasi selesai.

“Empat lelaki lain daripada komuniti itu pula dibenarkan direman selama dua hari sehingga Rabu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan, kesemua suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pencerobohan tersebut.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan kawasan berkenaan, dengan siasatan awal mendapati kawasan ladang kelapa sawit itu diceroboh tanpa kebenaran.