21 warga emas ditinggalkan depan pejabat NGO

LocalPolitics
5 Nov 2024 • 6:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebahagian warga emas yang ditinggalkan di hadapan pejabat Yayasan Tamilar Kural Malaysia dekat Taman Inderawasih pada Selasa.

image is not available
Beginilah keadaan di pusat jagaan di Sungai Karangan, Kulim ketika Yayasan Tamilar Kural Malaysia membuat lawatan mengejut pada Ahad lalu.

image is not available
Salah seorang penghuni ditemui dirantai dengan rantai besi ketika lawatan yang dilakukan pada Ahad lalu.

BUTTERWORTH - Seramai 21 warga emas yang dipercayai dari sebuah pusat jagaan di Sungai Karangan, Kulim ditinggalkan di hadapan Pejabat Yayasan Tamilar Kural Malaysia dekat Taman Inderawasih di sini, pada Selasa.

Pengerusi Yayasan Tamilar Kural Malaysia, David Marshel berkata, perkara itu disedari oleh kakitangan pejabat kira-kira jam 1 tengah hari selepas mendapati terdapat sekumpulan warga emas ditinggalkan individu tidak dikenali di hadapan pejabat.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mungkin disebabkan lawatan pihaknya ke pusat jagaan berkenaan pada Ahad lalu selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat mengenai keadaan daif pusat terbabit.

"Ketika lawatan dibuat kita dapati keadaannya (pusat jagaan) sangat teruk dan tidak sesuai untuk dihuni oleh manusia apatah lagi warga emas yang sudah uzur.

"Apa yang lebih mengejutkan kita turut menemui beberapa penghuni yang diikat dengan rantai besi di pusat jagaan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

David berkata, dia telah menghubungi Exco Kesihatan dan Exco Kebajikan Pulau Pinang untuk membantu menempatkan sementara semua warga emas terbabit sehingga siasatan dijalankan pihak polis dan agensi berkaitan.

Tegasnya, pusat jagaan tidak bertanggungjawab itu perlu diambil tindakan sewajarnya atas perbuatan melampau mereka.

"Pada masa ini, pihak Jabatan Kesihatan sedang membuat saringan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengambil data warga emas terlibat.

"Kami dari yayasan telah bekalkan makanan dan minuman buat mereka dan berharap kesemua warga emas ini dapat diberi perlindungan yang sewajarnya," katanya lagi.

View Original Article