
MATUNGGONG: Seramai 210 murid Tahun 1 sehingga Tahun 5 daripada keluarga berdaftar dalam eKasih menerima sumbangan menerusi Program Kasih Ehsan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPNS) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) kali ketiga 2023.
Pengarah PPNS, Samsul Dollah berkata, sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ketua isi rumah.
Samsul berkata, jumlah tersebut merangkumi pelaksanaan program di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, Tungku pada 8 Disember melibatkan 33 murid, SK Salinatan, Pegalungan pada 12 Disember dengan 44 murid, serta 133 murid di empat sekolah iaitu SK Matunggong, SK Pinawantai, SK Tinangol dan SK Pata.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini, Program Kasih Ehsan ini dilaksanakan tiga kali iaitu di SK Penangah, Tongod pada 16 Februari melibatkan 140 pelajar, SK Kalabakan pada 16 Mac melibatkan 240 penerima termasuk pelajar dan ketua isi rumah, dan yang ketiga adalah program pada kali ini.
SPONSORED CONTENT Sabah International Convention Centre’s Big Sabah Sale a big hit Kota Kinabalu: The Sabah International Convention Centre’s (SICC) Big Sabah Sale which concluded on Sunday saw a good response with about 20,000 visitors during the three-day extravaganza. . Read more Katanya, program ini dilaksanakan di seluruh negara dan untuk Sabah, ini merupakan program kali ketiga daerah kecil terpilih untuk disalurkan bantuan iaitu Daerah Kecil Tungku, Daerah Kecil Pegalungan dan Daerah Kecil Matunggong.
“Mmemandangkan tiga daerah ini merupakan kawasan pedalaman selain jarak yang agak jauh dari pusat bandar, bantuan disampaikan secara ‘outreach’ atau jangkau luar agar pemberian bantuan mencakupi kawasan luas selain penerima bantuan adalah lebih bersasar dan tepat.
“Tindakan proaktif ini selaras dengan dasar baharu kerajaan yakni membantu meringankan beban golongan miskin dan menggalakkan kerjasama masyarakat sivil dalam membantu golongan tersebut, selaras dengan nilai teras Malaysia Madani,” katanya.
Samsul berkata demikian ketika berucap pada Program Kasih Ehsan Kembali Ke Sekolah di SMK Matunggong, yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong, Datuk Julita Majungki, baru baru ini.
Julita ketika berucap berkata, Kerajaan Madani amat menitikberatkan kesejahteraan rakyatnya, dengan pelbagai inisiatif dirangka dan sedang giat dijalankan oleh agensi berkaitan bagi tujuan tersebut.
Menurut Julita, Perdana Menteri telah menyasarkan untuk menoktahkan miskin tegar menjelang 2025, dengan pelbagai strategi dan program sedang berlangsung, khususnya di negeri ini giat dilaksanakan di bawah penyelarasan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dengan kerjasama bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Katanya, seramai 22,510 ketua isi rumah miskin tegar akan mendapat manfaat daripadanya, dan salah satu cara untuk keluar daripada kemiskinan ialah melalui pendidikan.
“Murid yang berjaya dalam pendidikan akan mempunyai profesion dan pekerjaan yang akan membantu taraf ekonomi murid dan keluarga pada masa akan datang.
“Saya amat berharap agar semua murid dan ibu bapa serta barisan pendidik sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan peningkatan prestasi akademik anak-anak,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Cawangan PTPTN, Shazrul Azhan Abdullah, Pengurus Deposit Korporat Negeri Sabah Bank Islam Malaysia Berhad, Melvin Ogos @ Mohd Yahya Nawid, Pengarah Perhubungan Pelanggan (Negeri Sabah) Bank Islam Malaysia Berhad, Japri Mat Salleh, Pengurus Deposit SME Bank Islam Malaysia Berhad, Nicholas Voo dan Pembantu Tadbir Kanan Pejabat Daerah Kecil Matunggong, Jeffrin Monolinsio.
