
KUALA LUMPUR – Seramai 22,849 bakat semikonduktor berjaya dilatih setakat suku ketiga tahun ini, bersamaan 38.1 peratus daripada sasaran kerajaan melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan bakat berkemahiran tinggi menjadi keutamaan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian semikonduktor global.
Menurutnya, usaha itu turut bertujuan meningkatkan keupayaan teknologi tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi, selaras dengan keperluan industri yang semakin kompleks.
“Kesemua bakat berkenaan telah dilatih melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan teknikal.
“Usaha berterusan diperlukan bagi memastikan bekalan tenaga mahir bukan sahaja mencukupi, malah memenuhi keperluan kemahiran dan kepakaran industri semikonduktor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status terkini inisiatif melahirkan 60,000 bakat semikonduktor di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, program pembangunan bakat itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta Kementerian Ekonomi.
Katanya, MITI menerusi Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) menyokong pembangunan tenaga mahir melalui program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI).
Sementara itu, KPT memperkukuh kerjasama universiti dengan industri bagi memastikan kurikulum pengajian dan penyelidikan memenuhi keperluan sebenar sektor semikonduktor.
Antara inisiatif lain ialah Program Francais Kejuruteraan Elektronik dengan kerjasama pemain industri tempatan, selain pembiayaan latihan peningkatan kemahiran, latihan semula dan latihan silang oleh HRD Corp dalam bidang Industri 4.0, teknologi masa depan serta pensijilan mikro. – KOSMO! ONLINE
The post 22,849 bakat semikonduktor dilatih setakat suku ketiga 2026 appeared first on Kosmo Online.


