23 lagi ADUN Bersatu serah Surat Arahan MPT

Politics
30 May 2024 • 10:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rosol (kiri) menyerahkan Surat Arahan MPT daripada lima ADUN Bersatu Terengganu kepada Hamzah. Foto Facebook Hamzah Zainudin

image is not available
Azahar (kiri) menyerahkan Surat Arahan MPT daripada lima ADUN Bersatu Perlis kepada Hamzah. Foto Facebook Hamzah Zainudin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 23 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Daripada jumlah itu, 11 merupakan ADUN Bersatu dari Kedah manakala dua dari Johor, lima Perlis dan selebihnya Terengganu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi empat hantaran berbeza di laman Facebook pada Khamis.

“Alhamdulillah, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu yang juga Ketua Bahagian Bersatu dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid telah menyerahkan Surat Arahan MPT yang disempurnakan kesemua lima ADUN Bersatu Terengganu.

“Setiausaha BPN Perlis, Azahar Hassan juga menyerahkan Surat Arahan MPT yang ditandatangani kesemua lima ADUN Bersatu dari Perlis.

“Semua 11 ADUN Bersatu dari Kedah turut menandatangi Surat Arahan MPT dan telah diserahkan oleh Ahli Parlimen Merbok yang juga Setiausaha BPN Kedah, Mohd Nazri Abu Hassan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, surat arahan tersebut adalah bagi mematuhi pindaan Perlembagaan parti dan menghalang mana-mana ahli daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli.

Tambah Hamzah, Ketua BPN Johor yang juga ADUN Bukit Kepong, Datuk Sahruddin Jamal turut selesai berbuat demikian.

"Surat Arahan MPT ini ditandatangani olehnya (Sahruddin) serta ADUN Endau, Alwiyah Talib dan telah diserahkan sebentar tadi. Alhamdulillah," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!