24 Kanak-Kanak Antara 36 Terbunuh Dalam Kejadian Tembakan Di Thailand

6 Oct 2022 • 7:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkap layar video oleh PBS Thai yang disediakan melalui AFPTV menunjukkan kakitangan perubatan membawa pengusung keluar dari ambulans di wilayah Nong Bua Lam Phu di utara Thailand. - Gambar AFP

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 36 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu, Thailand.

Menurut kenyataan Polis Thailand lelaki bersenjata berusia 34 tahun yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kenderaan, kemudiannya membunuh isteri dan anaknya sebelum menembak dirinya sendiri.

Dalam satu kenyataan, polis Thailand memaklumkan bahawa 24 kanak-kanak dan 12 dewasa terbunuh manakala 15 lagi cedera termasuk lapan kritikal dalam kejadian pada 1 tengah hari (waktu tempatan).

Lelaki bersenjata itu, bekas anggota polis telah diberhentikan atas kesalahan berkaitan dadah pada tahun lepas.

Tragedi itu berlaku kurang sebulan selepas dua anggota tentera terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di Kolej Tentera Diraja Thailand di daerah Dusit, Bangkok pada 14 Sept.

Dalam kejadian itu, seorang sarjan mejar berusia 59 tahun menembak mati dua rakannya di kolej berkenaan.

Pada Februari 2020, seorang anggota tentera menembak mati 29 orang dan mencederakan 57 yang lain dalam kejadian amuk di empat lokasi di wilayah Nakhon Ratchasima.

Anggota berusia 32 tahun itu ditembak mati oleh polis 17 jam kemudian. - Bernama