25 lokasi kerap kemalangan, 34 lokasi sesak dipantau sepanjang Op Selamat

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamed Hasbullah ketika melancarkan Op Selamat pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Seramai 5,544 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) digerakkan bagi memperketat pemantauan di laluan berisiko tinggi sepanjang Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penugasan itu memberi fokus khusus kepada 25 lokasi kerap kemalangan (blackspot) dan 34 kawasan kesesakan utama (hotspot) di seluruh negara.

Menurutnya, langkah berkenaan antara strategi utama polis bagi mengekang peningkatan kemalangan maut selain memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.

"Operasi Op Selamat siri ke-26 akan dilaksanakan selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac.

"Sepanjang tempoh itu, dianggarkan kira-kira 2.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat pada Selasa.

Mohamed Hasbullah berkata, pendekatan operasi kali ini menekankan konsep pencegahan awal dan penguatkuasaan menyeluruh melibatkan semua kontinjen polis serta kerjasama pelbagai agensi.

Katanya, selain pemantauan statik, pasukan JSPT turut meningkatkan rondaan dan kehadiran di lokasi dikenal pasti sebagai titik panas kemalangan dan kesesakan.

"Sebanyak 25 pasukan Unit Tindak Balas Kecemasan (ERT) juga akan ditempatkan di 11 lokasi strategik di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan laluan Pantai Timur.

"Pasukan ini bersedia memberi bantuan segera kepada pengguna jalan raya sekiranya berlaku kecemasan atau kerosakan kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap enam kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kesalahan itu termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar serta memotong barisan.

"Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut melaksanakan larangan pergerakan kenderaan berat pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan selain meningkatkan tahap keselamatan sepanjang tempoh perayaan.

Dalam perkembangan sama, JSPT turut bekerjasama dengan rakan strategik termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyalurkan maklumat trafik secara berterusan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Mohamed Hasbullah menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

"Pengguna juga perlu sentiasa berdisiplin, mematuhi peraturan jalan raya serta tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Selain itu, ambil langkah keselamatan bagi mengelakkan jenayah ketika meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan,” katanya.

 

 

View Original Article