25 nelayan terjun laut bot terbakar

9 Sep 2025 • 9:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah bot nelayan musnah 80 peratus selepas terbakar di perairan Pantai Remis di Lumut pada malam Isnin. Foto: Ihsan Bomba Perak

image is not available
Operasi pemadaman bot pukat jerut diteruskan sebelum dikaramkan di perairan Pantai Remis di Lumut. Foto: ihsan Bomba Perak

LUMUT - Seramai 25 awak-awak bertindak terjun laut untuk menyelamatkan diri selepas bot pukat jerut dinaiki mereka terbakar di perairan kira-kira 3.5 nautika daripada Jalan Pelantar Alep, Pantai Remis di sini pada Isnin.

Dalam kejadian itu, kesemua kru diselamatkan oleh bot nelayan berdekatan sebelum dibawa ke pelantar berhampiran.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, maklumat kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis pada jam 11.06 malam.

Menurut beliau, bot pukat jenis kelas C itu musnah terbakar kira-kira 80 peratus.

**media[3266621]**

"Hasil perbincangan bersama pemiliknya, bot yang memiliki kapasiti diesel sebanyak 10,000 liter itu sedia untuk dikaramkan.

"Bot terbabit ditunda ke tengah laut dengan menggunakan bantuan daripada bot nelayan berhampiran," katanya di sini pada Selasa.

Shazlean berkata, operasi pemadaman tetap diteruskan atas permintaan pemiliknya yang memerlukan bangkai bot tersebut.

"Ketua operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan bersumberkan air terbuka dan pam angkut.

"Kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 1.01 pagi dengan dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.57 pagi," katanya.