25 tahun PKR: Jangan alpa dengan kuasa dimiliki, kata Anwar

Politics
11 May 2024 • 9:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kepimpinan Tinggi PKR memotong kek sebagai simbolik pada Sambutan 25 Tahun Keadilan di Sentul Depot malam ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua ahli terutama generasi muda supaya menghayati perjuangan parti dan tidak alpa dengan ‘kuasa’ yang dimiliki apabila menjadi pemerintah.

Beliau berkata, bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan PKR kerana ramai individu yang mengasaskan parti itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta rakan-rakannya semakin berusia dan ada antara mereka sudah uzur.

Anwar berkata, generasi muda tidak harus melupakan dasar perjuangan parti selama 25 tahun sejak penubuhan PKR.

"Mereka ini berjuang tanpa habuan, tanpa kedudukan tapi semata-mata demi pengorbanan. Saya harap generasi baharu tidak akan melupakan jasa mereka.

"Sepertimana saya selalu sebut, kuasa itu mampu memukau, kuasa itu suatu yang gemerlapan. Maka ingat tentang asas perjuangan, jangan guna kuasa untuk menimbun harta, jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini malam ini. - Bernama