
LAHAD DATU: Sebanyak 259 keluarga terjejas banjir awal tahun ini menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan negeri.
Penyerahan sumbangan berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga telah berlangsung di Dewan Serbaguna Kolej Vokasional, Segama.
Dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Lahad Datu itu telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Sabah Haryani Anah Abdul Kahar mewakili Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah Datuk Ag Shaminan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Segama Datuk Mizma Appehdullah, PPM Tungku Momen Anchai dan PPM Silam Harun Batarasa serta Pegawai Kebajikan Daerah Shairol Sari.
Firuz dalam ucapannya menjelaskan proses pengagihan bantuan mengambil masa kerana sebahagian dokumen penerima perlu dilengkapkan. Beliau berkata pihak berkuasa tetap berusaha memastikan semua keluarga terlibat menerima bantuan yang disediakan tanpa ada yang tertinggal.
Kerajaan negeri katanya sentiasa komited dalam membantu masyarakat terjejas bencana termasuk di daerah ini. Tambahnya bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan keperluan harian keluarga yang terjejas.
Terdahulu banjir yang berlaku pada 29 Januari hingga 2 Februari lalu menyebabkan lebih 300 orang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara di sekitar Lahad Datu.


