
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menetapkan 26 Oktober depan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, cuti tersebut bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan bersejarah berkenaan.
“Kerajaan negeri mengumumkan 25 Oktober 2026 (Ahad) sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh Negeri Selangor.
“Memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad, maka 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Jubli Perak ke-25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 20 program dan majlis rasmi membabitkan aspek kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan disusun sepanjang sambutan bermula 28 September hingga 1 November depan. – KOSMO! ONLINE
The post 26 Oktober cuti ganti Jubli Perak Sultan Selangor appeared first on Kosmo Online.






