27 ekor kucing mati, seorang lelaki melecur dalam kebakaran rumah

13 Mar 2026 • 5:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hanya tiga ekor kucing dapat diselamatkan dalam kebakaran rumah di Kampung Padang Gaung di Langkawi pada Jumaat. Foto Bomba

LANGKAWI – Sebanyak 27 ekor kucing mati selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebahagian rumah di Kampung Padang Gaung, di sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.47 pagi itu, hanya tiga ekor kucing berjaya diselamatkan manakala seorang wanita yang juga pemilik rumah tersebut ditemui pengsan.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 40 tahun turut cedera melecur 30 peratus di bahagian muka dan dada selepas dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Menurut Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani, berkata, satu panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut diterima sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dengan bantuan BBP Padang Mat Sirat ke lokasi kejadian.

“Sepasukan 17 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, EMRS dan Rapid Response Vehicle (RRV) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.02 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 9.02 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A satu tingkat berkeluasan kira-kira 25 kaki x 35 kaki dan memusnahkan kira-kira 55 peratus struktur rumah terutama di bahagian ruang tamU,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Zamri, mangsa lelaki telah diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut manakala wanita yang pengsan diberikan rawatan awal di lokasI.

Menurutnya, bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.58 pagi sebelum operasi ditamatkan kira-kira jam 10.52 pagi selepas kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.