27 Maut Dalam Kebakaran Di Lombong Emas

8 May 2023 • 11:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

27 Maut Dalam Kebakaran Di Lombong Emas

Sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam kejadian kebakaran di lombong emas di Selatan Peru, lapor AFP.

Difahamkan, kebakaran ini berlaku disebabkan litar pintas yang merebak hingga ke salah satu terowong di kawasan tersebut.

Ia sekaligus menjadi salah satu tragedi perlombongan terburuk dalam sejarah negara Amerika Selatan terbabit.

Dalam pada itu, polis dan pejabat pendakwa raya mengesahkan bahawa kebakaran di lombong La Esperanza 1 di wilayah Arequipa itu berpunca daripada litar pintas.

Punca Kebakaran Disiasat

Media tempatan sebelum ini melaporkan kebakaran ini bermula pada Sabtu selepas berlaku letupan di lombong wilayah terpencil Condesuyos, iaitu 10 jam pemanduan dari bandar Arequipa.

Memetik AFP, kejadian ini hanya disiarkan pada Ahad sebaik sahaja polis mengumpul maklumat mengenai jumlah terkorban dalam insiden ini.

Mangsa dikatakan berada 100 meter di bawah tanah.

Misi Penyelamat

Sementara itu, pasukan penyelamat memadam kebakaran di kawasan sekitar sebelum operasi mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian.

“Kami perlu memastikan keadaan selamat ketika operasi mengeluarkan mangsa,” kata pegawai penyelamat.

Pun begitu, setakat ini tiada laporan mengenai mangsa yang terselamat dan jumlah orang yang berada di dalam lombong itu semasa kebakaran.

Misi menyelamat itu dijalankan sehingga lewat malam pada Ahad.

Datuk Bandar Yanaquihua, James Casquino memberitahu agensi berita Andina, bahawa kebanyakan pelombong maut disebabkan sesak nafas dan melecur.

Di samping itu, ahli keluarga mangsa bergegas ke balai polis yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat tentang kejadian itu.

Latar Belakang Kawasan Perlombongan Emas Di Peru

Untuk pengetahuan, perlombongan menjadi ‘nadi’ kepada ekonomi Peru dan merupakan pengeluar emas dan tembaga terbesar di Amerika Latin. Ia menyumbang lebih daripada lapan peratus daripada KDNK.

Kawasan perlombongan ini diusahakan oleh Minera Yanaquihua yang merupakan syarikat yang sah dan telah menjalankan operasi selama 23 tahun.

Namun, tidak dapat dinafikan banyak juga lombong haram yang berleluasa di rantau tersebut.

Pada tahun lepas, seramai 39 orang dilaporkan maut di kawasan perlombongan.

Manakala pada tahun 2020, empat pekerja maut selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan kombong di Arequipa.

Sumber: AFP