29 Ahli Parlimen UMNO Sokong Muhyiddin, Hanya Zahid Mahu PH

Politics
21 Nov 2022 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mesyuarat BERSATU malam tadi. - Gambar oleh Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Seramai 29 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kecuali Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri.

Sumber UMNO berkata, kesemua mereka sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bagi diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang ini. 

Jelasnya, SD tersebut ditandatangani malam tadi dengan dipimpin Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

“Tindakan itu dilakukan 29 Ahli Parlimen BN berkenaan, berikutan tidak bersetuju dengan tindakan Ahmad Zahid yang mahu mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan campuran. 

“Pelakuan Ahmad Zahid dilihat agak melampau kerana membelakangkan keputusan parti iaitu, ‘No Anwar, No DAP’, di mana beliau dalam diam cuba bergabung dengan PH,” katanya kepada Getaran, hari ini. 

Sumber berkata, tindakan Ahmad Zahid yang memberi peringatan kepada Ahli Parlimen BN adalah tidak bertanggungjawab yang mampu terus memberi kesan negatif dan buruk kepada gabungan terbabit. 

“Paling mengecewakan apabila kenyataannya (malam tadi) cuba mengugut Ahli Parlimen BN lain mematuhi aku janji calon dan jika tidak patuh, akan dipecat daripada UMNO. 

“Kenyataan sangat memalukan dan seharusnya kepimpinan tertinggi UMNO mendesak Ahmad Zahid berundur serta letak jawatan. Jika tidak, parti ini tidak akan berubah, di samping tak berlakunya reformasi seperti diharapkan,” katanya. 

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen BN yang memenangi kerusi pada PRU-15, mematuhi aku janji calon ditandatangani mereka.

Beliau berkata, kandungan aku janji itu termasuk memberi mandat kepadanya untuk menentukan sebarang keputusan dan gabungan politik dalam penubuhan kerajaan Persekutuan.

Tegasnya, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan berkenaan, akan berdepan pelepasan keahlian parti dan kerusi Parlimen dimenangi.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perundingan yang berlaku antara BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta PN.

Malah, beliau menafikan kenyataan dikeluarkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berhubung perkara itu semalam.

Kemelut berhubung parti mana antara PN dan PH yang layak menubuhkan kerajaan tercetus, selepas kedua-dua parti tidak memperoleh majoriti dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tiada parti politik memperoleh 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen dipertandingkan atau majoriti mudah pada PRU-15.

Berdasarkan keputusan rasmi, PH memenangi 76 kerusi, manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

PN dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), WARISAN (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan calon Bebas (2).

PRU-15 merupakan peristiwa hitam buat BN apabila kalah teruk di kebanyakan kerusi Parlimen, malah majoriti calonnya, termasuk nama pilihan yang dijangka meraih kemenangan, tewas.

Antara calon itu adalah Khairy yang tewas di Sungai Buloh, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Gerik), Isham Jalil (Shah Alam) dan Shahril Hamdan (Alor Gajah). - Getaran, 21 November 2022