Jemaah himpunan tabligh ditegah ke masjid: Mufti Perlis

LocalPolitics
12 Mar 2020 • 8:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KANGAR - Jemaah tabligh dari Perlis yang menghadiri perhimpunan ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu ditegah ke masjid, solat berjemaah di masjid dan menghadiri solat Jumaat.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta mana-mana jemaah tabligh yang mengalami tanda-tanda awal jangkitan Covid-19 segera menjalani pemeriksaan kesihatan dan hanya ke masjid apabila mereka disahkan bebas daripada jangkitan itu.

“Saya tegaskan di sini, mereka ditegah datang solat Jumaat dan menunaikan solat jemaah di masjid kerana khuatir akan menjangkiti orang lain. Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau turut meminta jemaah yang ke masjid untuk solat berjemaah mengguna ‘pembersih diri’ (pembasmi kuman) dan menutup mulut jika bersin atau batuk.

Semalam, Kementerian Kesihatan meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu melibatkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 peserta dari Malaysia.- Bernama