Tiada usul undi tidak percaya terhadap Presiden PKR

PoliticsBusiness & Finance
2 Dec 2019 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Tiada usul undi tidak percaya terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2019 yang dijadual berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 5-8 Disember ini.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata setakat hari ini semua usul yang dibawa di peringkat cabang dan sayap telah dihantar ke peringkat jawatankuasa dan tiada sebarang permintaan untuk usul undi tidak percaya.

“Mekanisme untuk menghantar atau mengangkat satu usul untuk dibahas atau dibincang pada kongres adalah melalui Mesyuarat Agung Tahunan cabang dan sayap.

”Pada bulan Ogos hingga Oktober lepas semua kit laporan mesyuarat mereka telah dihantar ke pusat, dah proses dan sefaham saya tak ada usul itu, maka bagi Kongres Nasional tidak timbul isu usul undi tak percaya dalam kalangan cabang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa sekumpulan pemimpin Pemuda PKR mahu usul undi tidak percaya terhadap presiden mereka susulan keputusan parti memecat beberapa ahli baru-baru ini.

Pada 24 November, dua ahli PKR dari Pahang dipecat berkuat kuasa serta-merta setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, tahun lepas.

Pemecatan Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid iaitu seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli PKR negeri Pahang Ismail Dulhadi diumum oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim selepas mesyuarat bulanan PKR. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved