BATU PAHAT - Semangat gotong-royong penduduk berjaya menghidupkan semula gerbang pelita raya ikonik di Kampung Baru, Sri Gading, selepas dua tahun menyepi.
Sebanyak kira-kira 3,000 pelita dipasang sekali gus memeriahkan sambutan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi dan kembali menceriakan pintu gerbang kampung berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai ‘masjid pelita’.
Ketua Geng Sumbu, Mohd Azam Isnin berkata, gerbang pelita itu mula dibina sejak 2020 menggunakan kayu terpakai.
Namun ujarnya, bahan binaan terbabit tidak mampu bertahan lama menyebabkan aktiviti wajib setiap tahun itu terhenti dua tahun lalu.
"Atas inisiatif penduduk kampung, mereka mencari alternatif lain dengan membangunkan semula binaan itu menggunakan besi serta dilengkapi hiasan lain di sekitar lokasi ikonik berkenaan.
"Struktur binaan turut dinaikkan daripada 25 kaki kepada 35 kaki dan mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian Gerbang Pelita Madani Parlimen Sri Gading yang disempurnakan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan di Kampung Baru pada malam Ahad.
Mohd Azam berkata, gerbang pelita berkenaan juga simbolik meraikan kepulangan perantau pulang ke kampung sempena Aidilfitri tahun ini.
"Alhamdulillah ia siap seperti dijangkakan sekali gus memberi peluang kepada orang ramai singgah di sini.
“Binaan ini dilakukan bersama penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Gerbang pelita ini beroperasi sempena malam tujuh likur bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam.
“Kita menggunakan hampir 90 liter diesel atau kira-kira RM400 setiap malam dan ‘masjid pelita’ ini akan bercahaya sehingga malam menyambut Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, Aminolhuda berkata, ramai pengunjung berhenti untuk melihat kemeriahan gerbang pelita berkenaan yang cukup menarik.
**media[3464617]**
Katanya, sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan penduduk mengenai usaha mengembalikan semula suasana sambutan Aidilfitri seperti yang pernah dilaksanakan pada 2020.
“Jadi saya setuju menyalurkan peruntukan kerana kita tahu dengan cara ini ia mampu mengeratkan perpaduan bukan sahaja masyarakat setempat malah pihak luar.
“Kita mahu mengembalikan budaya seperti ini supaya generasi muda dapat merasai sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri,” katanya.

