
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kepakaran serta tenaga kerja dalam profesion seperti doktor dan jururawat adalah amat penting untuk sesebuah negara. Ini kerana mereka bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan dan rawatan yang sepatutnya boleh diberikan kepada rakyat yang memerlukan.
Oleh itu, sekiranya jawatan untuk kerjaya tersebut tidak mencukupi ia secara tidak langsung boleh mengundang kepada masalah seperti kelangsungan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
MMA gesa kerajaan beri tumpuan kepada 3 perkara utama
Terbaharu Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr L Sivanaesan menggesa kerajaan untuk memberikan tumpuan terhadap tiga perkara utama iaitu:
- Mengekalkan tenaga kerja kesihatan
- Memperkukuh kesinambungan daripada saringan kepada rawatan
- Mengoptimumkan peranan sektor penjagaan kesihatan swasta sebagai rakan strategik negara
Menurut beliau, Malaysia kini sedang berdepan dengan kekurangan hampir 11,000 orang pakar selain kadar kekosongan untuk jawatan jururawat pula adalah kira-kira 18%.
Beliau turut memaklumkan jumlah doktor serta pakar yang telah meninggalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di antara tahun 2019-2023 iaitu seramai 3,494 doktor.
Ini termasuklah 2,385 pegawai perubatan tetap serta 1,109 pakar.
Jawatan yang tak diisi beri tekanan kepada tenaga kerja sedia ada
“Peletakan jawatan dalam kalangan pakar meningkat sebanyak 57% sepanjang tempoh itu, manakala kadar pengisian jawatan menurun daripada 96% kepada 83%.
“Setiap jawatan yang tidak diisi menambahkan tekanan kepada tenaga kerja yang sedia terbeban dan berisiko melemahkan keupayaan sistem kesihatan awam.
“Apabila seorang pakar berpengalaman meninggalkan perkhidmatan, negara kehilangan lebih daripada sekadar seorang doktor iaitu pengalaman klinikal yang dibina selama bertahun-tahun, pengetahuan institusi dan keupayaan untuk melatih, menyelia serta membimbing generasi seterusnya,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga perlu mengambil kira tempoh perkhidmatan terdahulu yang berada di bawah skim kontrak bagi menentukan:
- Tempoh perkhidmatan
- Kenaikan gaji
MMA cadang satu laluan telus dan berasaskan merit untuk pakar naik Gred Khas atau Gred Utama C lepas 5 tahun perkhidmatan
“Doktor tidak seharusnya kehilangan tahun-tahun perkhidmatan yang bernilai serta peluang kemajuan kerjaya hanya kerana mereka memasuki sistem melalui skim kontrak.
“Oleh itu, MMA mencadangkan satu laluan yang telus dan berasaskan merit bagi membolehkan pakar berpengalaman dinaikkan ke Gred Khas atau Gred Utama C selepas sekurang-kurangnya lima tahun perkhidmatan yang memuaskan selepas pewartaan.
“Kenaikan pangkat tidak seharusnya berlaku secara automatik, jadi MMA mencadangkan penilaian yang berasaskan 80% kriteria objektif dan boleh diukur serta 20% penilaian profesional berstruktur.
“Menjelang tahun ke-10 selepas pewartaan, setiap pakar yang diiktiraf sebagai Pakar Perunding Perubatan sewajarnya melalui penilaian kenaikan pangkat secara rasmi, dengan keputusan serta alasannya dimaklumkan dengan jelas.
“Laluan yang serupa juga perlu diwujudkan bagi subpakar yang diiktiraf.”
Pada masa sama beliau berpendapat, Belanjawan 2027 perlu menangani dasar-dasar yang menyukarkan doktor serta pakar dalam mereka membina kerjaya yang mampan dalam sistem kesihatan awam.
MMA gesa syarat lengkapkan 3 penilaian LNPT, kadar bayaran On-call yang adil diberikan kepada doktor
“MMA menggesa syarat melengkapkan tiga penilaian LNPT berturut-turut sebelum menjalani latihan subkepakaran dikaji semula, jawatan Simpanan Latihan disediakan dengan secukupnya dan elaun pakar diberikan bermula dari tarikh pewartaan.
“Selain itu, kadar bayaran tugas dalam panggilan (on-call) yang adil diberikan kepada doktor yang menjalankan tanggungjawab pakar, kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) terdahulu dikekalkan bagi petugas kesihatan yang berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Selain itu, pengaturan waktu kerja diselaraskan dengan standard 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), termasuk tempoh rehat yang terjamin selepas bertugas selama 24 jam secara berterusan.”
Dr Sivanaesan turut membangkitkan isu Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan menggesa kerajaan agar meningkatkan peruntukan untuk FDS dalam memastikan pembiayaan yang mencukupi untuk:
- Penyelenggaraan
- Kemampanan perkhidmatan termasuklah keperluan peralatan, sokongan pesawat, dan operasi
Minta kerajaan kaji semula kadar elaun FDS
“Kerajaan juga perlu mengkaji semula kadar elaun petugas FDS dan menaikkannya ke tahap yang lebih wajar serta setimpal dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
“Ini memandangkan kadar elaun ini tidak pernah disemak sejak tahun 1978 dan sudah tiba masanya ia diberi perhatian sewajarnya.”
Sifatkan Belanjawan 2027 perlu beri pelaburan signifikan kepada penjagaan primer dan usaha pencegahan penyakit NCD
Ujar beliau, Belanjawan 2027 ini turut perlulah memberi pelaburan yang signifikan kepada:
- Penjagaan primer
- Usaha pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD)
“Pengesanan serta pengurusan awal diabetes, hipertensi dan NCD lain dapat mencegah komplikasi yang memerlukan kos rawatan yang tinggi, di samping mengurangkan tekanan terhadap hospital.
“Kita perlu memberi lebih tumpuan kepada pelaburan dalam langkah pencegahan untuk memastikan rakyat kekal sihat daripada terus menanggung kos yang lebih tinggi untuk merawat penyakit yang sebenarnya boleh dicegah.
“Bukan itu saja, MMA mencadangkan penubuhan Bahagian Pembangunan Penjagaan Kesihatan Swasta di bawah KKM bagi membangunkan dan menyelaras sektor itu sebagai pelengkap kepada peranan kawal selia Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).
“Keutamaan awal bahagian ini perlu diberikan kepada penjagaan kesihatan primer swasta dengan lebih 11,000 klinik GP boleh dioptimumkan untuk menyokong program-program kesihatan negara,” jelasnya lagi.
MMA cadangkan peruntukan RM10 juta
Bukan hanya itu, katanya lagi MMA turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM10 juta ia bertujuan untuk:
- Mendigitalkan proses pendaftaran
- Pelesenan CKAPS menerusi pewujudan satu platform di dalam talian bersepadu
“MMA memahami kekangan fiskal yang dihadapi kerajaan, namun, usaha mengekalkan tenaga kerja tidak boleh terus dianggap sebagai aspirasi jangka panjang sedangkan kekurangan tenaga kerja sudah pun memberi kesan kepada sistem.
“Malaysia sudah membuat pelaburan yang besar dalam melatih profesional kesihatannya dan keutamaan sekarang adalah untuk memastikan mereka terus kekal dalam sistem.”

