Ahli Parlimen termuda antara yang dikenakan tindakan dalam sejarah parlimen New Zealand
Parlimen New Zealand menggantung tiga Ahli Parlimen daripada parti Te Pāti Māori selepas mereka melakukan haka, iaitu tarian tradisi kaum Māori, sebagai tanda protes terhadap rang undang-undang yang didakwa mencabar hak pribumi.
Tindakan itu dianggap sebagai yang paling tegas pernah diambil oleh Parlimen New Zealand, dengan dua pemimpin parti, Rawiri Waititi dan Debbie Ngarewa-Packer, digantung selama 21 hari. Manakala Ahli Parlimen termuda, Hana-Rawhiti Maipi-Clarke, 22, digantung selama tujuh hari.
Keputusan penggantungan dibuat selepas Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen mendapati ketiga-tiga mereka bertindak “dengan cara yang boleh menimbulkan kesan intimidasi terhadap ahli Dewan”. Maipi-Clarke dikenakan penggantungan lebih pendek kerana menulis surat menyatakan kekesalan kepada Parlimen.
Baca juga:
Tindakan simbolik cetus debat panjang
Insiden tersebut berlaku pada November tahun lalu ketika bacaan pertama rang undang-undang yang bertujuan mentakrifkan secara sah prinsip Perjanjian Waitangi, iaitu perjanjian antara Mahkota British dan pemimpin kaum Māori pada 1840.
Ketika sesi undian berlangsung, Maipi-Clarke memulakan protes dengan mengoyakkan salinan rang undang-undang itu, sebelum beliau dan dua lagi MP mendekati pemimpin parti berhaluan kanan yang menyokong usul tersebut sambil melakukan haka. Tindakan itu dianggap mengganggu dan mencetuskan aduan daripada ahli Parlimen lain, sekali gus membawa kepada siasatan rasmi.
Menurut laporan Jawatankuasa Keistimewaan, walaupun tarian haka dan bentuk ekspresi budaya Māori dibenarkan di Parlimen, ia memerlukan kebenaran Speaker terlebih dahulu.
“Kami tidak akan dibisukan”
Sebelum undian diluluskan, Maipi-Clarke memberi ucapan beremosi dengan menyatakan, “Adakah suara kami terlalu lantang untuk Dewan ini? Adakah itu sebabnya kami dibisukan? Kami tidak akan pernah dibisukan dan kami tidak akan pernah hilang.”
Rang undang-undang kontroversi itu kemudiannya dibatalkan selepas menerima tentangan besar-besaran di seluruh negara.
Sumber: Al-Jazeera
The post 3 Ahli Parlimen New Zealand digantung kerana melakukan Haka Protes dalam Parlimen appeared first on The Reporter.


