‘3 Bekas Menteri Itu Bohong, Saya Malu Lantik Mereka’ - Tun M

LocalPolitics
17 Dec 2024 • 8:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Mahathir Mohamad (tengah) merasmikan Konvoi Misi Kemanusiaan Pasca Banjir hari ini - Gambar Amirah Abu Bakar

PUTRAJAYA - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas tiga anggota Kabinetnya berhubung isu Pulau Batu Puteh baru-baru ini. 

Akui Dr Mahathir, beliau berasa malu mempunyai menteri sedemikian dalam Kabinetnya.

Dakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, ketiga-tiga individu berkenaan berbohong apabila berkata, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh, dibuat tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

“Minit mesyuarat Kabinet yang dibocorkan menunjukkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh tiga menteri itu adalah tidak benar dan palsu.

“Saya malu kerana mereka berada dalam Kabinet saya ketika itu tetapi berbohong," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di sini hari ini.

Terdahulu, tiga menteri Kabinet terbabit iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan bersama mendakwa Dr Mahathir membuat keputusan tersebut secara bertulis kepada peguam cara negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu. 

Awal bulan lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ). - Getaran, 17 Disember 2024