
JAKARTA: Tiga diva Indonesia, Krisdayanti, Titi DJ dan Ruth Sahanaya berhasrat mengundang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghadiri konsert mereka di Malaysia, November ini.
Mengimbau kembali nostalgia konsert 3 Diva di Malaysia pada 2007, Krisdayanti menyifatkan kehadiran negarawan itu sebagai antara kenangan paling berbekas dalam sejarah kerjaya mereka bertiga.
“Syukur-syukur jika Tun Mahathir berkesempatan datang nanti. Itulah memori yang paling kami ingat.
“Bayangkan, 20 tahun lalu beliau bukan sahaja hadir menonton, malah sudi datang ke belakang tabir untuk berfoto bersama.
“Itu adalah satu pencapaian yang sangat besar buat 3 Diva,” katanya ketika ditemui media dari Malaysia di Jakarta sempena Konsert 3Diva Live in Malaysia Timeless.
Bagi Ruth Sahanaya pula, pujian yang diberikan oleh mantan Perdana Menteri itu masih segar dalam ingatannya sehingga hari ini.
“Kami dengar berita bahawa Tun Mahathir sempat berucap dan memuji persembahan kami. Kata beliau, ‘Wah, luar biasa! Seperti konsert di Las Vegas’.
“Apabila melihat dari atas pentas, kami nampak beliau sangat menikmati persembahan itu. Beliau tersenyum sepanjang waktu,” katanya.
Kenyataan itu turut dipersetujui Titi DJ yang sempat berseloroh menyifatkan reaksi Tun Mahathir ketika menyaksikan persembahan mereka sebagai sesuatu yang luar biasa, walaupun mungkin tidak mengingati kesemua lirik lagu yang dinyanyikan.
Sementara itu, Pengarah Urusan T-Rex Studio Sdn. Bhd., Audrey Wan Yuen Theng berkata, pihaknya berbesar hati dapat membawakan semula barisan diva Indonesia itu bagi mengubat kerinduan peminat di Kuala Lumpur.
“Lagu-lagu mereka telah menemani kita selama bertahun-tahun. Melalui konsert ini, kami mahu peminat kembali menikmati memori dan perjalanan tiga seniwati yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau.
“Sebab itu kami memperkenalkan pakej ‘Semua Jadi Satu’ supaya peminat boleh hadir bersama keluarga dan sahabat bagi merasai pengalaman eksklusif ini,” katanya.
Dalam pada itu, Audrey mengakui impak besar konsert 3 Diva terdahulu, namun pihaknya optimis kehebatan vokal ketiga-tiga penyanyi berkenaan mampu membawa penonton kembali mengimbau nostalgia.
“Memang ada tekanan, tetapi kami mahu membangkitkan semula memori 20 tahun lalu. Kita tahu ramai artis tempatan dan tokoh seperti Tun Mahathir meminati mereka.
“Kami akan menghantar jemputan rasmi kepada Tun Mahathir dengan harapan beliau dapat hadir memeriahkan lagi malam tersebut,” katanya.
Selain persembahan utama 3 Diva, penganjur turut membayangkan beberapa kejutan termasuk kemungkinan penampilan artis lain bagi memeriahkan konsert berkenaan.
Konsert 3Diva Live in Malaysia Timeless bakal berlangsung di Unifi Arena pada 22 November ini. -UTUSAN
The post 3 Diva mahu undang Tun M ke konsert November ini appeared first on Utusan Malaysia.
