3 Lagi Suspek Larikan Seorang Pemuda Ditahan

26 Apr 2023 • 4:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Tiga lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pemuda dilarikan di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong di Alor Setar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, penahanan tiga suspek itu menjadikan jumlah tangkapan seramai empat orang setakat ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan antara jam 7 malam hingga 9 malam tadi di tiga lokasi berasingan di sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar.

“Dalam serbuan pertama, kami menahan seorang wanita berusia 39 tahun, manakala dua lagi lelaki masing-masing berusia 42 serta 40 tahun ditahan dalam serbuan kedua dan ketiga.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing, dua suspek tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini sehingga 1 Mei depan bagi membantu siasatan.

Katanya, mangsa juga sudah ditemui tetapi motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 27 tahun dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta oleh tiga lelaki dan seorang wanita dalam kejadian jam 6.30 petang di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong di Alor Setar.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan memburu beberapa individu lagi bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Suspek pertama ditahan polis semalam selepas bapa mangsa yang berusia 46 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.

Video berdurasi 41 saat itu turut tular di Facebook (FB) sejak kelmarin, yang menunjukkan beberapa individu menolak mangsa ke dalam kereta Perodua Viva di lokasi kejadian. - Getaran, 26 April 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved