
AMMAN – Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di sebuah gereja di selatan Jordan semalam.
Penyerang menceroboh gereja Greek Ortodoks di Kampung Hammoud, wilayah Karak dan melepaskan tembakan semasa perarakan pengebumian, kata pihak berkuasa.
“Serangan pengganas di Karak akan dibalas dengan tindakan paling keras,” kata pemerintah Jordan, Raja Abdullah II dalam satu kenyataan di laman X.
Pengarah Keselamatan Awam, Mejar Jeneral Abdullah Al-Maaytah berkata, 34 mangsa cedera dengan 27 daripada mereka masih menerima rawatan.
Gambar badan penyiaran tempatan Al-Mamlaka menunjukkan Raja Abdullah melawat Karak petang semalam selepas selepas serangan berlaku. Al-Mamlaka turut menunjukkan detik serangan berkenaan.
Dua lelaki bersenjata berpakaian kasual dilihat mengacukan pistol, manakala seorang lagi membawa senjata laras panjang. Mereka melepaskan tembakan ke arah gereja dari pintu masuk di jalanan dan meluru ke hadapan.
Seorang saksi berkata, ketiga-tiga penyerang menembak secara berterusan selama lima minit sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
“Antara 150 hingga 200 orang berada di dalam dan sekitar gereja pada masa kejadian,” katanya sambil menambah, kebanyakannya mangsa berumur antara 50 hingga 70 tahun.
Karak mempunyai komuniti Kristian yang signifikan di Jordan di mana penganut Kristian merangkumi kira-kira tiga peratus populasinya.
Serangan ke atas rumah ibadat di Jordan jarang berlaku.
Pada 2016, serangan di Karak menyasarkan pusat keselamatan dan rondaan polis, menyebabkan 10 orang terkorban. – AFP
The post 3 lelaki bersenjata lepas tembakan di gereja, 7 terbunuh appeared first on Kosmo Online.


