3 Maut, 36 Cedera Nahas Bas Dan Treler

9 Jun 2024 • 1:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

ROMPIN - Tiga maut manakala 36 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, kejadian berlaku semasa bas membawa 39 orang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras sekitar jam 1 pagi.

Beliau berkata, yang maut di tempat kejadian ialah seorang guru Hasnatul Adilah Hassan, 48, manakala pemandu kedua bas berkenaan Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia semasa dibawa ke hospital, dan seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dalam keadaan gelap di simpang tiga Bahau apabila bas yang hilang kawalan itu melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik di cerun jalan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan HTAA untuk menerima rawatan.

Nor Azman seterusnya meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA